Isnin, 9 Disember 2019 | 9:37pm
WILFRIED Zaha
WILFRIED Zaha

'Zaha pasti hebat di Chelsea'

LONDON: Penyerang Wilfried Zaha pasti ‘menakjubkan’ di Chelsea, kata bekas pengurus Crystal Palace, Ian Holloway ketika peluang Blues untuk mendapatkan pemain itu kembali terbuka selepas hukuman penggantungan pembelian pemain ditarik balik.

Pemain kebangsaan Ivory Coast itu kuat dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Selhurst Park dengan Arsenal dikatakan berminat mendapatkan khidmatnya sebelum mengubah rancangan membeli Nicolas Pepe.

Begitupun, Zaha kembali dikaitkan dengan satu lagi kelab dari London apabila Chelsea dikatakan berminat mendapatkan khidmatnya. 

Bagi Holloway, perjanjian itu adalah peluang terbaik buat pemain berusia 27 tahun itu mengembalikan reputasinya selepas bergelut untuk mencipta impak di Manchester United.

“Saya rasa dia pasti menakjubkan di sana (Chelsea),” kata Holloway. “Saya tidak mahu Palace kehilangannya, tetapi realitinya dia perlu keluar. Saya gemar untuk melihatnya dalam pasukan seperti itu.

“Saya tidak mahu mengecewakan mereka (peminat Palace) tetapi itu pandangan saya dan saya fikir dia sentiasa meningkat. Saya dapat melihat produk terakhir daripadanya dan saya menggemarinya. 

“Dia salah seorang pemain kegemaran saya kerana saya tidak dapat melihat mana-mana pemain dapat melakukan seperti apa yang dia mampu lakukan.”

Apa yang pasti, Holloway bukan ‘peminat’ Palace yang pertama mengakui Chelsea sebagai destinasi yang sempurna untuk Zaha dengan bekas pemain, John Salako turut menyuarakan pandangan sama sebelum ini.

Begitupun, pengurus kelab itu Roy Hodgson dikatakan tidak berminat untuk melepaskan bintang utamanya itu. 

“Dia adalah pemain Crystal Palace, dia mempunyai kontrak bersama kami dan tiada sesiapapun di sini yang teruja atau mempunyai sebarang keinginan untuk menjualnya,” kata Hodgson. - Agensi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X