Jumaat, 13 Disember 2019 | 11:44pm
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menafikan laporan kontraknya mengandungi 'klausa' yang membolehkan dia meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini. - Foto Reuters
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menafikan laporan kontraknya mengandungi 'klausa' yang membolehkan dia meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini. - Foto Reuters

Guardiola nafi laporan berkaitan kontraknya

LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menafikan laporan kontraknya mengandungi 'klausa' yang membolehkan dia meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini.

Pengendali dari Sepanyol itu menandatangani kontrak lanjutan hingga 2021 pada tahun lalu, namun dengan harapan City meraih gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali ketiga berturut-turut tampak semakin jauh, sekali gus meninggalkan persoalan mengenai masa depannya.

Ditanya sama ada dia boleh disingkirkan daripada kontraknya pada penghujung musim ini, Guardiola berkata: "Tidak, ia tidak betul. Saya sudah bercakap mengenai perkara itu, mengenai niat saya bersama kelab."

Guardiola tiba di Manchester City pada 2016 dan selepas musim pertama tanpa trofi, dia berjaya menyumbang dua gelaran liga, dua Piala Liga dan Piala FA di Stadium Etihad.

Bagaimanapun, prestasinya musim ini agak merosot di belakang pengurus Liverpool, Jurgen Klopp yang memiliki kelebihan lapan mata di puncak EPL dan 14 mata di depan City yang berada di tangga ketiga.

Malah, Klopp juga sudah bersetuju dengan lanjutan kontrak sehingga tahun 2024, hari ini.

"Saya ucapkan tahniah kepada dia (Klopp) dan Liverpool, dia berhak mendapatnya," kata Guardiola kepada pemberita selepas sidang media menjelang aksi EPL berdepan Arsenal, Isnin ini.

"Saya fikir ia satu perkara yang sangat bagus untuk EPL jika dia boleh terus kekal di sini." - REUTERS

Berita Harian X