Sabtu, 14 Disember 2019 | 12:01am
Pengendali Selangor, B Sathianathan. - NSTP/Saddam Yusoff
Pengendali Selangor, B Sathianathan. - NSTP/Saddam Yusoff

Sathia puas hati `rekrut' baharu Selangor

KUALA LUMPUR: “Ini skuad yang sempurna buat saya!”.

Pengendali Selangor, B Sathianathan jelas berpuas hati dengan kemasukan beberapa ‘rekrut’ baharu yang ditandatangani pada jendela perpindahan kali ini bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia (Liga M) yang dijadual akan membuka tirainya, hujung Februari ini.

Katanya, semua pemain yang disambar itu sememangnya berada dalam radar dengan dia mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada barisan pengurusan yang sentiasa memberikan sokongan bagi memastikan ‘kehendaknya’ tercapai

“Semua pemain ini adalah pilihan saya. Jadi terima kasih kepada pengurusan yang bertungkus lumus menjayakan perkara ini. Saya berjaya mendapatkan pemain yang akan menjadi tonggak Selangor bagi musim 2020.

“Saya yakin kehadiran mereka khususnya di barisan pertahanan dapat membantu mengatasi masalah yang sering kita hadapi pada musim ini namun kita perlu terus bekerja keras untuk memantapkan lagi persediaan menjelang musim baru nanti.

“Tetapi apa yang saya lihat, saya optimis skuad kali ini dapat pergi lebih jauh berbanding musim 2019,” katanya.

Setakat ini, skuad The Red Giants membawa masuk enam muka baharu iaitu Rodney Celvin Akwensivie, Tauffiq Ar Rashid, Nick Swirad dan Norhakim Hassan serta dua perpindahan yang dianggap ‘berprofil tinggi’ iaitu Brendan Gan dan Safuwan Baharuddin.

Mengulas lanjut mengenai persediaan pramusim Selangor, Sathianathan menjelaskan mereka sudahpun mengatur 13 perlawanan persahabatan dan untuk itu, mereka sudah mula mengadakan latihan.

“Ada lagi pemain yang masih diberikan cuti khususnya pemain kebangsaan tetapi kita juga sudah memulakan latihan. Mungkin kita akan dapat skuad penuh untuk menjalani latihan pada minggu hadapan.

“Kita akan menyertai Kejohanan Cabaran Asia 2020 pada pertengahan bulan depan dan seterusnya, kita akan berangkat ke China untuk mengharungi kejohanan jemputan Piala Tahun Baru. Selepas itu, kita akan mengharungi beberapa lagi aksi persahabatan sebelum memulakan musim,” katanya.

Berita Harian X