Selasa, 17 Disember 2019 | 7:16am
Pemain Crystal Palace, Wilfried Zaha (kanan) merembat lalu membolosi gawang Brighton and Hove Albion untuk gol penyamaan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto AFP

Zaha bantu Palace pintas Arsenal

LONDON: Gol penyamaan Wilfried Zaha melonjak Crystal Palace ke tangga kesembilan Liga Perdana Inggeris selepas berkongsi mata dalam keputusan seri 1-1 menentang Brighton awal pagi tadi.

Neal Maupay meletakkan pelawat di depan pada minit ke-54 tetapi bintang Palace, Zaha menyamakan kedudukan dengan gerakan solo 15 minit sebelum tamat permainan di Selhurst Park.

Palace kini memintas tetangga London, Arsenal dengan kelebihan satu mata dan Zaha bangga cara pasukannya menangani cabaran Brighton yang lebih menguasai permainan.

Pemain Brighton & Hove Albion, Neal Maupay (kiri) menjaringkan gol pasukannya ketika menentang Crystal Palace, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

“Ia perlawanan yang besar untuk kedua-dua pasukan dan saya bangga dapat bangkit – jika tidak dapat menang, jangan tewas,” kata Zaha.

Brighton kekal di tangga ke-13 liga, lima mata di atas zon penyingkiran dan pengendalinya, Graham Potter berpuas hati dengan aksi anak buahnya.

“Persembahan amat baik sekali. Anda tidak boleh mengawal permainan di tempat lawan lebih baik daripada itu,” kata Potter.

“Kami sedar jika ada tindakan daripada seorang pemain yang hebat, anda akan dihukum.

“Tugas kami ialah mengumpul mata dalam saingan yang amat sengit ini. Kami akan cuba meningkatkan persembahan dan lihat di mana ia akan membawa kami.” – AFP

 

 

Berita Harian X