Sabtu, 21 Disember 2019 | 12:05am
KLOPP, Guardiola, Mourinho dan Rodgers.
KLOPP, Guardiola, Mourinho dan Rodgers.

Peluang Leicester ketepi City, rapati Liverpool

KOLUM APA KATA EPL

DENGAN calon juara, Liverpool tidak beraksi, sudah tentu perlawanan tumpuan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini membabitkan aksi empat kelab yang sedang menghuni lima tangga teratas ketika ini.

Penyandang juara, Manchester City yang menduduki tangga ketiga bakal melayan penghuni tangga kedua, Leicester City manakala satu lagi membabitkan Tottenham Hotspurs dan Chelsea yang masing-masing berada di tempat keempat dan kelima.

Barisan Jurgen Klopp tidak beraksi minggu ini kerana terbabit dengan final Piala Dunia Kelab di Doha, Qatar yang dijadual berlangsung pada awal pagi esok waktu Malaysia. Sebelum itu, skuad utama kelab berkenaan hanya menghantar barisan kedua saingan suku akhir Piala Liga di Villa Park yang menyaksikan mereka dibelasah 0-5 oleh Aston Villa.

Keputusan aksi City dan The Foxes di Etihad awal pagi esok sudah pasti sangat penting buat kedua-duanya dalam usaha menyekat Liverpool daripada memenangi kejuaraan musim ini. Ketika ini, Leicester ketinggalan 10 mata di belakang The Reds manakala City, 14 mata.

Jelas barisan Pep Guardiola dan Brendan Rodgers tidak boleh tercicir mata sama sekali terutama City kerana satu lagi kekalahan atau seri bermakna peluang mereka semakin pudar untuk mempertahankan kejuaraan.

Bagi The Foxes pula, mereka juga tidak punya pilihan selepas dikat Norwich 1-1 minggu lalu. Kemenangan itu sangat penting untuk merapatkan kedudukan kerana selepas ini, bakal melayan kunjungan LIverpool di King Power.

Andai menang, kedua-dua aksi, mereka hanya dipisahkan dengan empat mata menjelang pusingan kedua liga bermula awal Januari. Bagi aksi di Etihad, penulis jangkakan, ia sudah pasti bakal sengit.

Sementara itu, aksi dua tetangga di kota London, Tottenham dan Chelsea harus mendapat tumpuan kerana kedua-duanya sudah pasti mempunyai sebab besar untuk memenangi aksi ini ketika `Boxing Day’ (sehari selepas Krismas) hanya berbaki lima hari.

Ketika ini Spurs menduduki tangga kelima liga hasil himpunan 26 mata, ketinggalan tiga mata di belakang The Blues yang berada setakuk di atas. Kemenangan sudah pasti akan membolehkan Tottenham memintas lawannya itu dengan kelebihan jaringan.

Pun begitu, aksi ini sebenarnya menarik disaksikan kerana ia membabitkan kelibat Jose Mourinho. Pengendali Spurs itu adalah bekas pembimbing The Blues sebanyak dua kali iaitu antara 2004 hingga 2007 dan 2013 hingga 2015.

Ketika di Stamford Bridge, dia berjaya menjulang kejuaraan EPL sebanyak dua kali, selain sekali Piala FA dan dua kali Piala Liga Inggeris pada musim pertama, manakala satu kejuaraan liga dan satu Piala Liga musim kedua.

Dengan pengalamannya itu, mampukah Mourinho mengecewakan kelab lamanya itu, selepas terkedu di tangan satu lagi bekas kelabnya, Manchester United apabila berkunjung ke Old Trafford sebelum ini?

Sementara itu, United akan berkunjung ke kelab tercorot, Watford untuk memburu satu lagi kemenangan manakala pasukan bermasalah, Arsenal akan bertandang ke Goodison Park bertemu Everton. Selamat menonton.

RAMALAN MINGGU INI

Everton 2 Arsenal 1

Aston Villa 2 Southampton 1

Bournemouth 2 Burnley 2

Brighton 2 Sheffield 1

Newcastle 2 C Palace 2

Norwich 1 Wolves 2

Man City 2 Leicester 2

Watford 1 Man Utd 3

Tottenham 2 Chelsea 1

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X