Ahad, 29 Disember 2019 | 3:39pm
Pemain Everton, Dominic Calvert-Lewin meraikan kejayaan menjaringkan gol ketika menentang Newcastle. - Foto Reuters

Everton rasai aura Ancelotti

LONDON: Kebangkitan Everton di bawah Carlo Ancelotti berterusan apabila dua gol Calvert-Lewin menjelmakan kemenangan 2-1 ke atas Newcastle, manakala Brighton dan Watford mengutip mata penuh dalam usaha mengelak penyingkiran.

Karier Ancelotti di Goodison Park bermula baik hasil jaringan Calvert-Lewin ke atas Burnley pada Boxing Day dan penyerang bawah 21 England itu sekali lagi muncul wira di Tyneside.

“Dia pengendali hebat yang pernah bekerja dengan pemain-pemain bintang dan bagi saya sebagai pemain muda ia adalah pengalaman terbaik. Saya perlu menjadi seperti span dan menyerap semuanya,” kata Calvert-Lewin.

Pengurus Everton, Carlo Ancelotti (kanan) bersalaman dengan penjaring gol, Dominic Calvert-Lewin (tengah). - Foto Reuters

Selepas jaringan pertama Calvert-Lewin pada minit ke-13, Newcastle menyamakan kedudukan menerusi Fabian Schar pada minit ke-56.

Bagaimanapun gol penyamaan itu hanya bertahan lapan minit apabila umpanan Richarlison menemui Calvert-Lewin yang meledak gol ke-10 dirinya musim ini.

Sementara itu Crystal Palace berpeluang merapatkan jurang dengan kelompok empat teratas dengan kemenangan di Southampton apabila mendahului menerusi tandukan James Tomkins.

Bagaimanapun kesilapan Martin Kelly memusnahkan usaha Palace apabila dia terlepas bola kepada arkitek Southampton, Danny Ings yang meledak gol penyamaan.

Brighton melonjak ke tangga ke-14, lima mata di atas zon penyingkiran apabila Alireza Jahanbakhsh dan Aaron Mooy meledak gol pertama masing-masing untuk kelab dalam kemenangan 2-0 ke atas Bournemouth.

Watford kini cuma tiga mata di bawah garis selamat selepas merakam kemenangan 3-0 ke atas Aston Villa, walaupun beraksi 10 orang apabila Adrian Mariappa dibuang pada ketika permainan berbaki 30 minit. – AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X