Jumaat, 17 Januari 2020 | 2:51pm

Kedah lancar jersi ketiga bercorak kotak

ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) secara rasmi melancarkan kit jersi ketiga skuad Helang Merah bagi saingan Kelayakan Pusingan Kedua Liga Juara-Juara  Asia (ACL) 2020.

Pengumuman itu dibuat di laman rasmi KFA, hari ini secara digital pada jam 12 tengahari tadi dengan menampilkan corak unik berpetak dan turut tertera Chenang Bay di bahagian hadapan yang difahamkan selaku penaja utama.

"Kit jersi bercorak kotak dengan warna asas putih di bahagian dasar serta disulam dengan corak berwarna hijau, kuning dan merah yang menjadi warna asas bagi logo KFA.

"Bagi mengikuti syarat yang ditetapkan Konfeferasi Bolasepak Asia (AFC), hanya penaja utama sahaja dibenarkan dicetak di atas jersi selain jenama pakaian sukan Lotto.

"Manakala jersi untuk laman sendiri atau 'Home' dan tempat lawan 'away' akan dilancarkan sebelum bermulanya Liga Malaysia 2020," menurut kenyataan KFA itu.

Di samping pengumuman jersi baharu ini, KFA juga memaklumkan program yang akan diadakan bersama penaja khas untuk peminat Helang Merah sempena  perlawanan kelayakan ACL menentang kelab Hong Kong, Taipo FC.

"Kit untuk jersi ketiga atau AFC ini akan mula dijual di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) Alor Setar, di mana penaja iaitu Lotto akan turut mengadakan aktiviti bersama peminat bermula 19 Januari ini.

Berita Harian X