Sabtu, 18 Januari 2020 | 11:22pm
Pemain Selangor, Brendan Gan (kiri) diasak pemain Persib Bandung, Dedi Kusnandar pada aksi saingan Asia Challenge 2020 di Stadium Shah Alam. - NSTP/Sairien Nafis

Selangor benam Persib Bandung

KUALA LUMPUR: Selangor membuka tirai kejohanan Cabaran Asia 2020 dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas kelab Indonesia, Persib Bandung di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Anak buah B Sathianathan hanya memerlukan 10 minit untuk berada di depan selepas sepakan leret kapten Taylor Regan gagal diselamatkan penjaga gol Persib Bandung, Dhika Bayangkara.

Sandro Da Silva kemudian mengukuhkan kedudukan buat Red Giants selepas rembatan derasnya dari luar kotak penalti pada minit ke-41 berjaya menewaskan Dhika buat kali kedua.

Seminit sebelum tamat babak pertama, pintu gol Persib Bandung bocor lagi dan kali ini menerusi jaringan Syahmi Safari yang menyudahkan hantaran Ifedayo Olusegun.

Kedua-dua pasukan melakukan beberapa pertukaran pada babak kedua, namun tiada tambahan jaringan berjaya dihasilkan hingga tamat permainan.

Persib Bandung akan menentang kelab Vietnam, Hanoi FC petang esok, sementara Selangor berdepan wakil Thailand, True Bangkok United pada sebelah malam.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X