Khamis, 23 Januari 2020 | 4:31pm

Liga Super RM146 juta

KUALA LUMPUR: Liga Super Malaysia boleh dianggap sebagai antara liga utama terbaik Asia Tenggara selepas nilai pasaran keseluruhan pasukan bertanding dinilai pada €32.45 juta (RM146 juta).

Penilaian itu dibuat oleh laman web yang menjadi rujukan berkenaan nilai pasaran pemain seluruh dunia, www.transfermarkt.com dan ia hanya merangkumi jumlah keseluruhan nilai pemain dalam setiap pasukan.

Berdasarkan penilaian laman web berkenaan, nilai pasaran pasukan Liga Super berada di kedudukan ketiga dalam senarai liga utama Asia Tenggara selepas Thai League 1 yang dinilai pada €73.08 juta (RM331 juta) dan Liga Indonesia, €57.28 juta (RM258 juta).

Bagaimanapun, jumlah pasukan lebih tinggi yang bertanding dalam liga utama Thailand (16 pasukan) dan Indonesia (18 pasukan) dilihat menjadi faktor utama nilai pasaran mereka lebih tinggi.

Namun, nilai berkenaan belum nilai rasmi bagi saingan Liga Super musim ini dan jumlah itu dijangka bertambah apabila semua pasukan melengkapkan pemain mereka selepas jendela perpindahan pertama Liga Malaysia (Liga M) ditutup, 15 Mac depan.

Berdasarkan nilai semasa yang dibuat, juara Liga Super enam kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) berada di kedudukan teratas dengan nilai pasaran keseluruhan pemain mereka kira-kira RM31.2 juta.

Kedah berada di kedudukan kedua dengan nilai pasaran RM17.2 juta, diikuti Selangor (RM16.6 juta), Melaka United (RM16.1 juta) dan Terengganu FC (RM13.9 juta).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan bagaimanapun menjelaskan nilai pasaran yang dibuat itu tidak melambangkan nilai komersil sebenar Liga M.

"Buat masa ini kita tak tahu siapa yang buat kaji selidik itu dan kita tak tahu sama ada ia tepat atau tidak. Jadi, saya tidak boleh komen mengenai perkara itu.

"Kalau nilai pemain, ia tidak boleh mengatakan nilai Liga M. Kita pun masih belum ada data lagi mengenai nilai sebenar kerana kita sedang mengemas kini.

"Tapi kalau dari segi nilai Liga M, saya lihat liga kita masih mantap termasuk sambutan daripada penyokong dan persiapan pasukan bertanding tampak meriah berbanding musim sebelum ini," katanya.

Info: Nilai pasaran pasukan Liga Super

Berita Harian X