Jumaat, 24 Januari 2020 | 10:04pm
Lukaku semakin cemerlang di Inter selepas berhijrah dari United tahun lalu. - AFP

Keputusan tepat tinggalkan Man Utd - Lukaku

LONDON: Romelu Lukaku percaya dia membuat keputusan tepat meninggalkan Manchester United untuk mencari cabaran baharu di Inter Milan, sambil berkata dia perlu “mencari semula” dirinya selepas tempoh sukar di Old Trafford.

Bintang Belgium itu menyertai United dari Everton pada Julai 2017, menjaringkan 42 gol dalam dua musim di kelab itu sebelum berhijrah ke Inter Ogos lalu.

Dia menampilkan prestasi hebat bersama skuad kendalian Antonio Conte, menjaringkan 18 gol untuk membantu kelab itu memberikan cabaran terhadap gelaran Serie A.

“Saya rasa perlu kembali mencari diri saya,” katanya. “Tahun lalu adalah sukar buat saya dalam aspek profesional kerana ia tidak berlaku seperti saya mahukan dan saya juga tidak beraksi baik... dan saya membuat rumusan sudah tiba masanya buat saya menukar persekitaran.

“Saya membuat keputusan sekitar Mac, dan saya ke pejabat pengurus (Ole Gunnar Solskjaer) dan saya beritahu dia sudah tiba masanya saya mencari sesuatu yang lain.”

“Saya buat keputusan yang betul dan saya rasa Manchester United kini memberi ruang kepada pemain muda untuk menyerlah, jadi saya rasa ia situasi menang-menang buat kedua-dua pihak,” katanya. - AFP

Berita Harian X