Selasa, 28 Januari 2020 | 6:21pm
AKSI Salah (kanan) cuba melakukan hantaran kepada Matip yang berada di luar padang jadi tumpuan.

'Lawak' Salah curi tumpuan

LIVERPOOL: Mohamed Salah membuatkan penyokong Liverpool terpinga-pinga apabila dia dilihat cuba melakukan hantaran kepada Joel Matip yang berada di luar padang sewaktu Liverpool terikat dengan Shrewsbury dalam aksi Piala FA, kelmarin.

Situasi itu terjadi sejurus Jurgen Klopp membawa masuk penyerang Mesir itu daripada bangku simpanan ketika Liverpool terdesak mencari gol di separuh masa kedua.

Tetapi percaturan pengendali dari Jerman itu tidak menjadi apabila pasukannya sekadar terikat 2-2 dengan pasukan Divisyen Satu sekali gus menempah pertembungan ulangan pada 5 atau 6 Februari nanti.

Sebaliknya, Salah lebih mencuri tumpuan kerana tindakan lucunya sejurus dibawa masuk menggantikan Matip.

Dia menghantar bola ke garisan tepi dalam sentuhan sulungnya selepas  ternampak kelibat pemain memakai jersi merah.

Namun, Salah tidak sedar sebenarnya individu terbabit adalah Matip yang sedang berjalan di tepi padang untuk ke tempat duduk pemain selepas digantikan untuk bola sekadar bergolek keluar.

Selepas klip itu tular di Twitter, seorang penyokong membuat jenaka: "Dan mereka berkata dia tidak tahu membuat hantaran. Raja Mesir."

Seorang lagi menambah: "Akhirnya dia membuat hantaran."

Dan seorang pengguna Twitter berkata: "Salah cuba melakukan hantaran kepada Matip yang baharu dikeluarkan untuk menggantikannya." - Agensi

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X