Rabu, 29 Januari 2020 | 9:22pm
Ivan Rakitic bersama isteri, Raquel. - Foto Getty Image

Isteri halang Rakitic ke United 

BARCELONA: Usaha Manchester United menandatangani Ivan Rakitic dihalang oleh isteri perancang tengah itu yang mahu kekal di Barcelona, menurut laporan akhbar tempatan.

Dengan Ole Gunnar Solskjaer kehilangan Paul Pogba dan Scott McTominay gara-gara kecederaan, ia bukan perkara mengejutkan apabila kelab itu mahu seorang lagi pakar hantaran bola di bahagian tengah.

Walaupun perpindahan bintang tengah Sporting Lisbon, Bruno Fernandes ke United dilaporkan sudah dipersetujui kedua-dua kelab, namun Red Devils sudah memulakan perbincangan untuk membawa Rakitic ke Old Trafford.

Perancang tengah Croatia itu sudah mengumpul 10 gelaran utama termasuk Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab sejak menyertai Barcelona daripada Sevilla pada 2014.

Dia sudah membuat 22 penampilan untuk Barcelona musim ini tetapi masih belum merakam sebarang gol dan melakukan dua bantuan gol.

Selepas banyak disisihkan pasukan kebelakangan ini, isteri Rakitic mengkritik dengan layanan buruk diterima suaminya itu.

Katanya: "Anda tidak boleh melayan pemain seteruk itu," kata Raquel sambil memberi kata semangat pula kepada suaminya: "Jangan berputus asa untuk berjuang.

"Kamu adalah pemain contoh yang konsisten, berpengetahuan dan profesional. Saya sayangkan kamu kerana ini. Kamu amat hebat dan tiada siapa dapat mengubahnya." -Agensi

Berita Harian X