Khamis, 30 Januari 2020 | 10:39am
Klopp memberi arahan kepada pemainnya ketika saingan Liga Perdana menentang West Ham United di Stadium London, awal pagi tadi. - Foto AFP
Klopp memberi arahan kepada pemainnya ketika saingan Liga Perdana menentang West Ham United di Stadium London, awal pagi tadi. - Foto AFP

Klopp tak kisah rekod, hanya fikirkan juara

LONDON: Jurgen Klopp menegaskan Liverpool tidak berminat mencipta sejarah selepas pendahulu itu melangkah setapak lagi ke arah gelaran Liga Perdana dengan menang 2-0 di West Ham awal pagi tadi.

Skuad kendalian Klopp kini sudah mencipta jurang 19 mata di persada dengan kemenangan ke-23 daripada 24 perlawanan liga musim ini.

Skuad Reds sudah menang 31 daripada 32 saingan liga, hanya mencicirkan mata ketika seri 1-1 di Manchester United pada Oktober.

Berbaki 14 perlawanan, laluan Liverpool tampak akan menghadirkan sejarah sebelum mereka dimahkotakan selaku juara.

Namun Klopp hanya memikirkan untuk membawa Liverpool ke garisan penamat manakala sebarang catatan sejarah dicipta hanya akan menambah gembira kepada kejayaan itu.

“Dalam semusim anda harus mencari, anda tidak boleh banyak berehat, kemudian selepas 38 perlawanan anda keluar dari air dan lihat apa yang sudah anda lakukan,” kata Klopp.

“Saya tidak begitu bimbangkan mengenai rekod. Kami membuat rekod di Dortmund dan Bayern mengatasinya pada musim seterusnya.

“Saya tidak mahu menjadi bosan. Kami bukan seperti itu.”

Juara Eropah dan dunia itu kini melalui 41 perlawanan tanpa kalah dalam liga, hanya lapan daripada rekod 49 saingan liga utama England dicipta Arsenal pada musim 'Invincibles' 2003 dan 2004.

Menyamai pencapaian Arsenal dengan mengharungi seluruh musim tanpa kalah masih boleh dicapai Liverpool sama juga dengan rekod Liga Perdana milik Manchester City dengan 100 mata. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X