Isnin, 24 Februari 2020 | 7:56am
 Penyerang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe (kanan) dikawal pemain tengah Bordeaux, Otavio pada saingan di Parc des Princes awal pagi tadi. - AFP
Penyerang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe (kanan) dikawal pemain tengah Bordeaux, Otavio pada saingan di Parc des Princes awal pagi tadi. - AFP

PSG tewaskan Bordeaux, Neymar dibuang padang

PARIS: Edinson Cavani meledak jaringan ke-200 miliknya buat Paris Saint-Germain dan Marquinhos menjaringkan dua gol ketika pendahulu Ligue 1 itu bangkit daripada kekalahan dalam Liga Juara-Juara kepada Borussia Dortmund untuk menewaskan Bordeaux 4-3 awal pagi tadi.

Bagaimanapun kejayaan mereka dicemari apabila Neymar dibuang padang pada penghujung saingan.

Selepas tewas 2-1 di Jerman pada pusingan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara, kelemahan pertahanan PSG sekali lagi terdedah apabila pemain Korea Selatan, Hwang Ui-jo memberikan Bordeaux gol pendahuluan di Parc des Princes.

PSG menukar keadaan hasil gol Cavani dan Kylian Mbappe sebelum dan selepas dua jaringan Marquinhos, tetapi pada penghujung saingan satu gol aneh diberikan kepada pertahanan Brazil, Pablo dan jaringan Ruben Pardo membuatkan skuad tuan rumah terpaksa bertahan hingga penamat.

Malam itu juga ditamatkan dengan Neymar dibuang padang pada penghujung saingan kerana kad kuning kedua kerana mengasari pemain Bordeaux, Yacine Adli menyebabkan pemain termahal dunia itu berdepan penggantungan.

“Dia juga manusia biasa dan dia marah. Pemain yang mengasarinya sebelum itu tidak dikenakan hukuman, jadi ia agak pelik,” kata Tuchel mengenai insiden Neymar dibuang padang.

“Kami melepaskan tujuh gol dalam dua saingan liga dan itu tidak normal. Sukar mendapatkan kembali keyakinan, tapi perkara terbaik buat kami ialah mendapatkan kemenangan. Itu memberikan kami asas untuk membina sesuatu.”

Berita Harian X