Khamis, 26 March 2020 | 2:24pm
Liga Juara-Juara.
Liga Juara-Juara.

Komplot 'geng 8' sabotaj City

LONDON: Beberapa kelab teratas bola sepak Inggeris didakwa menghalang percubaan Manchester City beraksi di Liga Juara-Juara ketika rayuan The Citizens terhadap penggantungan dua tahun beraksi di liga elit Eropah itu masih berlangsung.

Sportsmail mendedahkan 10 pasukan teratas - kecuali City dan Sheffield United - sudah mengemukakan permohonan bersama kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang akan mendengar rayuan City terhadap hukuman dikenakan UEFA kerana melanggar peraturan Kewangan Fair Play.

Kumpulan itu, termasuk Liverpool, Manchester United, Arsenal dan Chelsea, sudah menulis surat secara berasingan kepada firma undang-undang sama, yang kemudiannya menghantar permohonan yang disokong pasukan lain kepada mahkamah berkenaan.

Antara yang dinyatakan semua kelab itu membantah sekiranya City meminta hukuman mereka ditangguhkan sementara rayuan sedang berjalan.

Namun, difahamkan permintaan berkenaan tidak dibuat oleh juara Liga Perdana itu.

Langkah ini adalah perkembangan penting dan ia memberikan petunjuk jelas mengenai pandangan yang kurang jelas bahawa keseluruhan kelab teratas mengambil tindakan sendiri terhadap kelakuan City.

Tindakan tegas yang cuba diambil kumpulan terbabit didedahkan sumber yang mengetahui mengenai perkara itu.

"Sudah terlalu lama City dapat melepaskan diri dengan melanggar peraturan yang mengorbankan sekurang-kurangnya satu kelab lain yang tidak dapat menyertai saingan Liga Juara-Juara.

"Kebimbangan ketika ini adalah jika mereka dapat menangguhkan sebarang hukuman dan sekiranya rayuan memihak kepada mereka, ia akan menjadi tindakan yang keterlaluan," kata sumber berkenaan. - Agensi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X