X
Khamis, 26 March 2020 | 8:13pm
Ronaldo berehat di Madeira, Portugal.
Ronaldo berehat di Madeira, Portugal.

Ronaldo ditempelak bergambar di kolam renang

LONDON: Bekas bos Juventus, Giovanni Cobolli Gigli mengkritik tindakan Cristiano Ronaldo yang merakam gambar di kolam renang di Portugal ketika penularan COVID-19 sedang serius melanda Itali.

Susulan gambar itu juga, Gigli menyifatkan bekas bintang Real Madrid itu menunjukkan contoh buruk buat rakan sepasukan di Juventus selepas didakwa mengelak daripada wabak itu di Itali.

Malah, beliau yang mengetuai kelab gergasi Serie A itu sebagai pengerusi berikutan skandal Calciopoli pada 2006 turut merasakan The Old Lady tidak menangani masalah COVID-19 dengan baik.

Ronaldo kini berada di Madeira, sementara tiga pemain Juventus - Paulo Dybala, Daniele Rugani dan Blaise Matuidi - didapati positif penyakit itu dan pemain lain termasuk Gonzalo Higuain sudah meninggalkan negara berkenaan.

Gigli memberitahu Radio Punto: "Keadaan di Juventus menjadi rumit apabila Cristiano Ronaldo pergi. Dia kata dia akan ke Portugal kerana ibunya, tapi sekarang dia mengambil gambar di kolam renang.

"Apabila pengecualian dibuat untuknya, yang lain juga mahu meninggalkan (kelab) - tetapi ia tidak sepatutnya berlaku seperti ini. Mereka semua sepatutnya dikuarantin."

Ronaldo pada mulanya terbang ke kampung halaman untuk bersama ibunya yang diserang strok pada awal bulan ini.

Terdapat kebimbangan bahawa pemain yang meninggalkan Itali akan bergelut selepas COVID-19 dapat dikawal di negara itu dan mereka mungkin perlu dikuarantin apabila kembali.

Gigli menambah: "Mengkritik sekarang mudah tetapi dari luar, saya tidak tahu mengapa pemain mahu meninggalkan Itali. Apabila mereka kembali, ia akan menjadi lebih sukar kerana mereka mesti dikuarantin 14 hari," katanya. - AGENSI

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X