Khamis, 26 March 2020 | 9:23pm
Gopi Rizqi (depan) bersama rakan sepasukan menjalani latihan sebelum PKP dilaksanakan.
Gopi Rizqi (depan) bersama rakan sepasukan menjalani latihan sebelum PKP dilaksanakan.

Jangan potong gaji kami!

KUANTAN: Rata-rata pemain tidak setuju gaji mereka dipotong hanya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan saingan Liga Super (Liga M) musim ini ditangguh dalam tempoh lama.

Mereka berpendapat pasukan sebagai majikan perlu mengadakan perbincangan dan bukannya menggunakan kuasa veto dengan alasan sumber kewangan semakin susut disebabkan tiada perlawanan.

Bekas penyerang kebangsaan yang kini bersama Pahang, Muhammad Gopi Rizqi Rama Chandra berkata, pemain tidak sepatutnya menjadi mangsa walaupun persatuan dan kelab berhadapan krisis kewangan.

"Secara peribadi saya tidak setuju pasukan memotong gaji pemain kerana ia akan memberi kesan terutama prestasi mereka.

"Pemain meraih pendapatan tinggi tidak akan terkesan namun bagi yang mendapat gaji agak rendah, berapa sahaja baki yang tinggal untuk dibelanja bagi menyara keluarga," katanya.

Gopi Rizqi yang pernah beraksi bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), Melaka United (MU) dan Selangor menambah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu memberi perhatian terhadap nasib pemain.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi ‘restu’ kepada pasukan dan pemain masing-masing untuk berbincang mengenai pemotongan gaji.

Sementara itu, pemain MU, Ahmad Syamim Yahya berpendapat tidak sepatutnya pasukan memotong gaji pemain hingga memberi kesan kepada mereka terutama yang berpendapatan rendah.

"Selepas memberi sepenuh perhatian terhadap pasukan akhirnya gaji dipotong, rasa kecewa dan marah pasti berlaku walaupun tidak ucap dengan kata-kata.

"Saya harap episod gaji pemain dipotong berikutan PKP yang berpunca daripada wabak Covid-19 tidak berlaku, sebaliknya pasukan berusaha mengisi tabung kewangan mereka bermula dari sekarang," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X