Selasa, 7 April 2020 | 7:11am
Son Heung-min akan memulakan program khidmat negara selama empat minggu di Korea Selatan bulan ini. - Foto AFP
Son Heung-min akan memulakan program khidmat negara selama empat minggu di Korea Selatan bulan ini. - Foto AFP

Heung-min mula khidmat negara bulan ini

LONDON: Penyerang Tottenham Son Heung-min akan memulakan program khidmat negara selama empat minggu di Korea Selatan bulan ini.

Heung-min kembali ke negaranya baru-baru ini susulan Liga Perdana Inggeris ditangguhkan akibat pandemik COVID-19 dan dalam pengasingan selama dua minggu.

Dengan bola sepak Inggeris tidak akan bersambung dalam tempoh terdekat, bintang Korea Selatan itu mengambil peluang untuk menjalani khidmat ketenteraan yang diwajibkan kerajaan sebelum kembali ke London bulan depan.

“Kelab mengesahkan yang Son Heung-min akan memulakan khidmat ketenteraannya di Korea Selatan bulan ini.

“Son akan kembali ke London sebaik menamatkan khidmat diwajibkan itu pada Mei,” kata Tottenham dalam satu kenyataan.

Tangan Heung-min yang patah ketika kemenangan Tottenham di Aston Villa pada Februari kini semakin pulih selepas melakukan pembedahan di Seoul.

Pemain 27 tahun itu sepatutnya menjalani program khidmat ketenteraan selama 21 bulan, tetapi dia mendapat pengecualian pada tahun 2018 kerana membarisi skuad Korea Selatan ketika memenangi Piala Asia, di mana Spurs melepaskannya di pertengahan kempen 2018-19. - AFP

Berita Harian X