Selasa, 7 April 2020 | 9:53am
Walker membuat permohonan maaf tetapi ia sudah terlambat untuk menyelamatkan kariernya bersama The Three Lions. - Foto fail AFP
Walker membuat permohonan maaf tetapi ia sudah terlambat untuk menyelamatkan kariernya bersama The Three Lions. - Foto fail AFP

Karier England Walker berakhir

LONDON: Kyle Walker boleh melupakan karier bola sepaknya bersama England di bawah kendalian Gareth Southgate selepas pengendali itu berang dengan tindakan pemain berkenaan mengadakan pesta seks ketika perintah berkurung.

Ketika penjarakan sosial ditekankan sepanjang krisis COVID-19, Walker dan rakannya memutuskan untuk mengadakan pesta seks di apartmen mewahnya di Manchester.

Hujung minggu lalu, pertahanan 29 tahun Manchester City itu dilaporkan menjemput dua orang pelacur ke rumahnya selama tiga jam.

Dan beberapa jam selepas itu, Walker menggesa peminatnya untuk duduk di rumah dan mengikut garis panduan kerajaan sepanjang perintah kawalan pergerakan itu.

Walker, yang dijangka berdepan hukuman denda oleh City, membuat permohonan maaf tetapi ia sudah terlambat untuk menyelamatkan kariernya bersama The Three Lions.

“Saya mahu meminta maaf kepada keluarga, rakan-rakan, kelab saya, peminat dan orang ramai kerana mengecewakan mereka,” kata Walker.

Southgate dilaporkan naik angin dengan perbuatan Walker dan bertekad untuk tidak menyenaraikannya dalam skuad England.

Bekas pemain Spurs itu memainkan peranan penting dalam laluan England ke separuh akhir Piala Dunia 2018 di Russia.

Tetapi dia mula tercicir daripada skuad selepas Southgate mula mempertaruhkan pemain lebih muda seperti Trent Alexander-Arnold dan Aaron Wan-Bissaka. - AGENSI

Berita Harian X