Selasa, 7 April 2020 | 3:58pm
Pemain Terengganu FC, D Saarvindran menjalani latihan di rumahnya. - Ihsan D Saarvindran
Pemain Terengganu FC, D Saarvindran menjalani latihan di rumahnya. - Ihsan D Saarvindran

Saarvindran 'berperang' kawal pemakanan

KUALA TERENGGANU: Pemain sayap Terengganu FC (TFC), D Saarvindran akui tidak sabar untuk turun menjalani latihan di padang seperti biasa sebaik tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat susulan wabak pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia.

Bekas pemain Johor Darul Ta'zim II (JDT II) itu meluahkan dia sukar untuk mencapai kepuasan sepenuhnya sepanjang melakukan senaman kecergasan di rumahnya di Klang, Selangor kerana latihan begitu terhad.

Namun bagi memastikan kecergasan dapat dikekalkan, dia tetap fokus dan meluangkan masa lebih sejam sehari dengan melakukan senaman yang sudah ditentukan pasukannya.

Tambah pemain yang pernah menyarung jersi Harimau Muda A dan Pahang itu, bagi memastikan latihan dilakukan tanpa rasa bosan, peranan keluarga juga penting dengan mempelbagaikan corak latihan selain melihat kaedah senaman lain dalam saluran Youtube.

"Saya meluangkan masa lebih sejam sehari melakukan senaman untuk mengekalkan kecergasan, saya sedar ia tidak memberi kepuasan sebenar serta tidak mencapai kecergasan 100 peratus lagipun saya terlalu rindu untuk berlatih di padang.

"Tapi saya tetap fokus mengikut arahan daripada pihak jurulatih dan ada kalanya bagi mengelak kebosanan senaman seorang diri, saya turut mengajak keluarga melakukan senaman selain melihat Youtube.

"Biasanya dalam latihan itu saya lebih kepada aktiviti utama termasuk mengimbangi badan bagi menguatkan bahagian kaki dan otot dengan adakalanya dibantu bapa.

"Tapi dalam masa sama saya juga turut 'berperang' untuk mengawal pemakanan terutama sepanjang hari berada di rumah yang sukar sedikit untuk dikawal, justeru bagi memastikan saya tidak terus dibuai dengan nafsu makan, adakalanya saya masak sendiri menu makanan harian," katanya.

Ketika ditanya mengenai kebimbangan pandemik itu, Saarvindran yakin rantaian itu dapat diputuskan jika semua masyarakat mengamalkan arahan yang ditetapkan pihak kerajaan dengan duduk di rumah serta mengikut saranan daripada Kementerian Kesihatan berkaitan penjagaan kesihatan.

"Saya sendiripun risau dengan pandemik itu, tapi yang penting kami sekeluarga tetap 'stay at home' selain mengamalkan langkah pencegahan bagi memastikan rantaian wabak itu dapat dihentikan," kata Saarvindran yang megakui tidak begitu gembira jika Liga Malaysia (Liga M) disambung tanpa kehadiran penonton.

Berita Harian X