Selasa, 7 April 2020 | 10:10pm
PRESIDEN La Liga, Javier Tebas. - Foto AFP
PRESIDEN La Liga, Javier Tebas. - Foto AFP

La Liga mahu kembali beraksi Mei

MADRID: La Liga boleh kembali beraksi seawal bulan depan, kata Presidennya, Javier Tebas hari ini ketika liga berkenaan menanti peluang untuk bermula selepas perintah berkurung kerana coronavirus.

Tebas juga memberi amaran bahawa kelab Sepanyol boleh mengalami kerugian sehingga 1 bilion euro (RM4.73 bilion) jika musim tidak dilengkapkan, memaksa bos bola sepak di negara itu menamatkan musim lebih lewat pada kempen kali ini.

“Senario berbeza ketika kami bekerjasama dengan UEFA untuk kembali bersaing, mungkin pada 29 Mei, 6-7 Jun atau 28 Jun,” kata Tebas.

“Kami bukan hanya melihat apa yang berlaku di Sepanyol... tugas kami ialah memastikan kalendar kami (di Eropah) selaras, jadi semua kejohanan boleh dihabiskan bersama.”

Bagaimanapun Tebas berkata, tiada pasukan dibenarkan berlatih sehingga perintah berkurung tamat di Sepanyol – kini ditetapkan pada 26 April.

Sekiranya tarikh berkenaan dilanjutkan, peluang untuk kembali bersaing pada Mei akan musnah. - AFP

Berita Harian X