Selasa, 7 April 2020 | 10:32pm
SETIAUSAHA Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Foto Owee Ah Chun
SETIAUSAHA Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Foto Owee Ah Chun

Harimau Malaya kekal di Piala AFF 2020

KUALA LUMPUR: Adakah Piala AFF 2020 akan menjadi 'korban' kepada penularan COVID-19?

Persoalan itu timbul selepas Thailand dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada kejohanan dwitahunan bola sepak Asia Tenggara yang akan berlangsung pada hujung tahun ini.

Thailand dikatakan membuat pertimbangan itu atas beberapa faktor termasuk mungkin terpaksa memilih untuk memberikan fokus kepada kelayakan Piala Dunia 2022 yang akan berlangsung dalam tempoh hampir sama dengan Piala AFF.

Selain itu, mereka mengambil kira kemungkinan bergelut dengan penundaan jadual liga mereka akibat COVID-19.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagaimanapun enggan membuat keputusan terburu-buru dalam perkara itu, sebaliknya mengambil pendekatan tunggu dan lihat terutama bila isu COVID-19 akan berakhir.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan belum ada apa-apa keperluan untuk badan induk itu memikirkan soal menarik diri dari saingan Piala AFF tahun ini.

"Jadual Piala AFF tidak bertembung dengan jadual perlawanan dalam kalendar FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa). Kalau FIFA bergerak (menganjak) jadual perlawanan kelayakan Piala Dunia, baru kita kena pertimbangkan.

"Tapi buat masa ini, mengikut kalendar yang ada sekarang, belum masa FAM buat keputusan sama ada tarik diri atau tidak. Mungkin Thailand buat keputusan itu memandangkan memerlukan tarikh berkenaan untuk liga mereka.

"Tapi untuk kami, mengikut perancangan liga akan habis pada November. Jadi kita kena tengok dulu dan akan tahu selepas COVID-19 berakhir," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Berita Harian X