X
Selasa, 7 April 2020 | 11:19pm

Jangan hanya harap bantuan FIFA

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengingatkan semua pasukan tidak terlalu mengharapkan bantuan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebagai penyelamat kepada kesulitan industri bola sepak tempatan susulan penularan COVID-19.

Sebaliknya, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan kerjasama semua pihak menjadi perkara paling penting dalam memastikan kancah bola sepak tempatan tidak berdepan situasi tenat.

Beliau berkata, FIFA juga masih belum mengumumkan secara rasmi mengenai bentuk bantuan dan berapa nilai sebenar jika ada sumbangan daripada aspek kewangan.

"Biasanya bila FIFA keluarkan keputusan atau bantuan seperti ini, ada kriteria agihan kewangan, bukan semata-mata dia bagi dan kita kena bahagi kepada 10 atau 20 pasukan, bukan begitu. Kadang-kadang ada juga syaratnya.

"FIFA hanya datang membantu dari segi polisi dan kalau ada bantuan kewangan, kita kira bonus. Tapi jangan kita harap itu pelan A, ia mungkin pelan B atau C dan jangan bergantung kepada bantuan kewangan FIFA semata-mata.

"Keputusan polisi FIFA akan lebih membantu kita di Malaysia daripada kewangan. Kewangan tak membantu kita dalam jangka masa panjang, jangka masa panjang adalah kerjasama semua pihak.

"Kesulitan domestik adalah tanggungjawab semua dan untuk memastikan kita keluar daripada isu yang rumit sekarang adalah tanggungjawab kita bersama, bukan FIFA," katanya kepada BH Sukan, hari ini.

Sebelum ini, terdapat laporan bahawa FIFA akan menyuntik dana bagi membantu industri bola sepak yang terjejas akibat COVID-19 dan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul John dilaporkan berkata bantuan itu akan diagihkan dua minggu lagi.

Dalam perkembangan lain, Stuart menjelaskan pihaknya menunggu pengumuman rasmi daripada FIFA mengenai laporan bahawa badan induk bola sepak dunia itu menasihatkan pasukan mengadakan perbincangan bersama pemain bagi melakukan pemotongan gaji akibat kesan kewangan yang dihadapi kerana wabak itu.

"Kenyataan (laporan) itu tak rasmi lagi kerana ia memetik dari sumber, bukan kenyataan dari FIFA. Tapi difahamkan ia anatara perbincangan dalam 'task force COVID-19' yang ditubuhkan di FIFA.

"Namun, selepas FAM buat pengumuman tempoh hari (menasihatkan pasukan Liga M mengadakan perbincangan dengan pemain), ada 10 hingga 11 pasukan sudah hubungi kami untuk mendapatkan pendapat dan nasihat," katanya.

Berita Harian X