Sabtu, 18 April 2020 | 11:01am

10 pemain import terbaik EPL

LONDON: Pemain Eropah sering mendapat pujian di atas usaha mereka membantu merevolusikan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagaimanapun, siapakah pemain terbaik Eropah yang beraksi dalam era EPL?

Berikut 10 pemain terbaik Eropah dalam saingan EPL yang dipilih tiga legenda bola sepak England, Gary Lineker, Alan Shearer dan Ian Wright:

1. Dennis Bergkamp

Kelab: Arsenal

Penampilan EPL: 315

Gol: 87

Gelaran EPL: 3

Bergkamp tiba di Highbury pada musim panas 1995 selepas dua musim bersama Inter Milan dalam saingan Serie A. Dalam tempoh 11 tahun selepas itu, dia membalas kepercayaan Arsenal apabila membantu kelab berkenaan memenangi tiga gelaran EPL termasuk ketika Arsenal dinobatkan juara dengan rekod tanpa kalah. Dia juga empat kali menjulang trofi Piala FA bersama The Gunners.

2. Eric Cantona

Kelab: Leeds dan Manchester United

Penampilan EPL: 156

Gol: 70

Gelaran EPL: 4

Cantona berpindah daripada Leeds ke United pada November 1992 dan membantu The Red Devils menamatkan penantian 26 tahun menjulang trofi EPL pada musim yang sama. Kejayaan itu turut menjadi titik kebangkitan United yang melakar lebih banyak kejayaan selepas itu. Cantona sinonim dengan gayanya yang membiarkan kolar jersi terangkat setiap kali beraksi memenangi empat gelaran EPL sepanjang lima tahun bersama United sebelum dia bersara pada usia 30 tahun.

3. Eden Hazard

Kelab: Chelsea

Penampilan EPL: 245

Gol: 85

Gelaran EPL: 2

Aksi Hazard di atas padang sentiasa memukau peminat. Pemain antarabangsa Belgium itu disifatkan mengharungi kemuncak kerjayanya sepanjang tujuh musim bersama Chelsea. Dia yang jarang mensia-siakan peluang terhidang di depan pintu gol berjaya memenangi dua gelaran EPL bersama The Blues selain Piala FA dan Piala Liga sebelum berpindah ke Real Madrid pada musim panas 2019.

4. Thierry Henry

Kelab: Arsenal

Penampilan EPL: 258

Gol: 175

Gelaran EPL: 2

Penyerang antarabangsa Perancis itu terkenal dengan bakatnya dalam menggelecek bola, pantas, bertenaga dan mempunyai sentuhan penyudah yang sangat baik. Dia memenangi dua gelaran EPL bersama The Gunners termasuk ketika kelab itu muncul juara dengan rekod tanpa kalah selain dua gelaran Piala FA sebelum berpindah ke Barcelona dan New York. Henry kembali menyertai Arsenal secara pinjaman pada musim 2011/2012.

5. N'Golo Kante

Kelab: Leicester City & Chelsea

Penampilan EPL: 160

Gol: 10

Gelaran EPL: 2

Nama Kante pada awalnya cukup asing dalam saingan EPL ketika dia tiba untuk beraksi bersama Leicester City daripada Caen pada musim 2015/2016. Bagaimanapun, prestasi konsisten di atas padang berjaya mencuri perhatian termasuklah membantu Leicester melakar kejutan menjuarai trofi EPL pada musim itu. Saham Kante meningkat susulan kejayaan itu yang turut menyaksikan dia kerap berada dalam kesebelasan utama skuad Perancis dan berpindah ke Chelsea yang membolehkan dia memenangi dua gelaran EPL. Dia turut membantu Perancis menjulang trofi Piala Dunia pada 2018.

6. Roy Keane

Kelab: Nottingham Forest dan Manchester United

Penampilan EPL: 366

Gol: 39

Gelaran EPL: 7

Keane menyertai United daripada Nottingham Forest pada 1993. Pemain tengah Republik Ireland itu mengetuai The Red Devils ketika meraih gelaran treble pada musim 1998/1999. Dihormati rakan sepasukan dan pihak lawan, Keane dilabel antara pemain tengah terbaik dalam saingan EPL.

7. Vincent Kompany

Kelab: Manchester City

Penampilan EPL: 265

Gol: 18

Gelaran EPL: 4

Kompany asalnya bermain di bahagian tengah namun selepas menyertai City pada 2008, dia menjadi benteng pertahanan yang cukup kebal buat kelab itu sehingga empat kali menjuarai saingan EPL.

Dengan fizikal yang besar, dia sering menghadirkan rasa gerun dalam kalangan penyerang lawan selain bijak membaca pergerakan lawan. Dia juga seorang kapten yang sering memberikan inspirasi kepada rakan sepasukan.

8. Cristiano Ronaldo

Kelab: Manchester United

Penampilan EPL: 196

Gol: 84

Gelaran EPL: 3

Ronaldo mengambil masa agak lama sebelum mampu mempamerkan prestasi sebenarnya di Old Trafford. Sebaik dia berjaya menemui rentak permainannya, dia bertukar menjadi mesin pencetak gol buat The Red Devils sekali gus menjadi pemain terbaik dalam generasinya.

Dia memenangi tiga gelaran EPL bersama United selain Piala FA dan satu trofi Piala Liga serta Liga Juara-Juara. Dia juga meraih anugerah Ballon d'Or pertamanya ketika bersama The Red Devils.

9. David Silva

Kelab: Manchester City

Penampilan EPL: 301

Gol: 57

Gelaran EPL: 4

Diberikan julukan sebagai 'Merlin' oleh peminat City, Silva sentiasa menghiburkan penonton dengan aksi lincahnya di atas padang. Dia dianggap pemain yang bijak dan mempunyai kemampuan mengumpan bola buat rakan sepasukan menjaringkan gol. Ketika dijangka meninggalkan City musim panas ini, Silva sudah merekodkan empat gelaran EPL bersama City, dua kali memenangi Piala FA dan Piala Liga sebanyak lima kali.

10. Patrick Vieira

Kelab: Arsenal dan Manchester City

Penampilan EPL: 307

Gol: 31

Gelaran EPL: 3

Vieira menjadi kapten ketika mengetuai Arsenal memenangi gelaran EPL dengan rekod tanpa kalah dalam 38 perlawanan pada musim 2003/2004. Pemain tengah itu juga membantu The Gunners muncul juara berganda pada musim 1997/1998 selepas menjulang trofi EPL dan Piala FA. Dia turut membawa Perancis muncul juara Piala Dunia 1998. - Agensi

Berita Harian X