X
Isnin, 20 April 2020 | 11:05pm
STUART yakin pasukan, pemain akan temui jalan terbaik dalam menangani isu pemotongan gaji.
STUART yakin pasukan, pemain akan temui jalan terbaik dalam menangani isu pemotongan gaji.

Pasukan minta 'tambahan masa'

KUALA LUMPUR: Kira-kira separuh daripada 24 pasukan Liga Malaysia (Liga M) memerlukan ‘tambahan masa’ bagi mencapai persetujuan bersama dengan pemain serta pegawai dalam menangani impak kewangan yang dihadapi pasukan susulan penularan pandemik COVID-19.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata masa yang diperlukan itu bertujuan memastikan perbincangan mengenai kelangsungan pasukan serta kebajikan pemain dan pegawai menghasilkan satu keputusan terbaik buat kedua-dua pihak.

Tarikh akhir bagi memuktamadkan mengenai perjanjian bersama itu adalah pada Rabu ini dan Stuart menjelaskan FAM sentiasa bersedia untuk dirujuk sekiranya tiada sebarang penyelesaian berjaya dicapai dalam tempoh ditetapkan.

“Saya berhubung dengan semua pasukan dan ahli gabungan FAM, separuh daripada kesemua pasukan telah memulakan perbincangan dan sudah ada tanda positif, 50 peratus lagi perlukan masa dan lebih perbincangan, namun bukan sebab tiada persetujuan tetapi ia perlu lebih diperhalusi.

“Jika pasukan perlukan lanjutan dua atau tiga hari, saya sedia bekerjasama sebab kita (FAM) mahukan hasil terbaik daripada perbincangan di peringkat kelab itu sendiri,” katanya.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini mengeluarkan pekeliling bertajuk Isu Terhadap Peraturan Bola Sepak FIFA COVID-19 yang mengandungi empat perkara utama, antaranya mengenai Perjanjian Yang Tidak Dapat Dilaksanakan Seperti Dijangkakan.

Di bawah Perjanjian Yang Tidak Dapat Dilaksanakan Seperti Dijangkakan, FIFA mengeluarkan prinsip bimbingan yang menggalakkan kelab dan pemain untuk membuka jalan kepada rundingan dalam mencari kata sepakat sepanjang krisis ini, termasuk cadangan penstrukturan penggajian sementara.

Setakat ini, tiga pasukan Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Melaka dan Felda United dilaporkan bersetuju melaksanakan pemotongan gaji pemain dan pegawai selepas perbincangan mengenai perkara itu berjalan lancar.

Dalam pada itu, Stuart percaya setiap pasukan akan menemui jalan terbaik dalam menangani isu tersebut dan menegaskan FAM sebagai badan induk bola sepak negara tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam usaha menyelamatkan industri bola sepak tempatan. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X