Ahad, 3 Mei 2020 | 11:46am
FAM tidak mahu ada pasukan yang terkubur ketika COVID-19 ini. - Foto NSTP
FAM tidak mahu ada pasukan yang terkubur ketika COVID-19 ini. - Foto NSTP

Elak pasukan Liga M terkubur

KUALA LUMPUR: "Kita tidak mahu ada pasukan yang terkubur ketika COVID-19 ini!"

Itulah yang diharapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila badan induk itu mengeluarkan garis panduan pelarasan gaji kepada pasukan dan pemain yang gagal mencapai persetujuan pemotongan gaji akibat pandemik itu.

Dengan pemotongan dibuat berdasarkan tangga gaji dan kadar maksimum pemotongan dibenarkan sebanyak 30 peratus, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menegaskan penetapan itu untuk membantu situasi semasa sekali gus melindungi pasukan dan pemain.

"Pasukan tidak boleh menyalahgunakan situasi ini dan pemain juga tiada alasan untuk berunding. Situasi ini memerlukan kerjasama semua pihak dan ini bukanlah situasi di mana pasukan tidak mahu bertanggungjawab.

"Kita ambil pendekatan ini supaya dapat pelihara dan tiadanya isu seperti yang pernah berlaku sebelum ini di mana pasukan terkubur. Kita perlu pastikan mereka dapat bekerjasama supaya tiada pasukan yang terkubur dalam jangka masa COVID-19 ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Foto NSTP
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Foto NSTP

"Walaupun ada pasukan yang tidak mendapat persetujuan domestik, mereka boleh guna pakai garis panduan ini bagi pastikan potongan gaji dibuat selaras dengan garis panduan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan FAM. Pemotongan pun perlu mengambil kira kadar dan situasi semasa kewangan pasukan masing masing," katanya.

Dalam perkembangan sama, Stuart menjelaskan garis panduan terbabit turut dipraktikkan di beberapa negara Asia lain apabila mereka memperkenalkan garis panduan dan siling bagi membantu perbincangan domestik.

"Ini panduan sekiranya penyelesaian tidak dapat dilakukan di peringkat domestik. Mungkin ada pasukan mahu tolak terlalu banyak dan pemain tidak mahu potong gaji langsung atau potongan tidak cukup untuk membantu pasukan menghadapi masalah kewangan.

"Kalau pasukan ada hubungan baik dengan pemain, mungkin pemotongan lebih 30 peratus dapat dilakukan dan kita akan anggap lebihan potongan itu sebagai penangguhan bayaran.

"Kita akan melindungi pemain yang boleh memahami situasi pasukan ketika ini dan kalau mereka boleh terima potongan sehingga 50 peratus, 20 peratus itu nanti boleh diterima semula pada masa tertentu mengikut perbincangan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X