Khamis, 4 Jun 2020 | 11:10pm
Gareth Bale. - Foto AFP
Gareth Bale. - Foto AFP

Bale tak kembali ke EPL, kekal di Bernabeu

LONDON: Ejen kepada Gareth Bale mengakui penyerang Real Madrid itu tidak akan kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana mahu menamatkan kariernya di Bernabeu.

Bale tidak memiliki hubungan yang baik dengan pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane dan nyaris menyertai Jiangsu Suning, tahun lalu.

Bekas pemain Tottenham Hotspur itu beberapa kali dikaitkan dengan kepulangan ke EPL dan Newcastle United dikatakan menjadi kelab paling sesuai untuk pemain Wales terbabit.

Namun, ejen Bale, Jonathan Barnett mengesahkan pemain berusia 30 tahun itu gembira untuk kekal di Sepanyol.

"Gaya hidupnya cukup baik. Saya tak nampak kenapa dia tidak mahu menghabiskan kariernya di Madrid.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, dia agak gembira di Madrid dan itulah kehidupan yang dimahukannya.

"Dari aspek kewangan, tiada apa lagi yang dia mahukan sepanjang hidupnya, untuk anak dan cucunya."

Meskipun memenangi pelbagai trofi namun dia jarang beraksi di bawah kendalian Zidane dan dikritik kerana lebih mementingkan golf berbanding bola sepak.

Namun, Barnett mengakui Bale tidak pernah merancang untuk berpindah ke pasukan lain.

"Saya tidak tahu berapa nilainya sekarang. Gajinya pun agak tinggi dan lebih penting untuk tahu ke mana hala tujunya.

"Dia memenangi pelbagai kejuaraan. Kembali ke EPL pun mungkin satu keputusan yang baik tetapi buat masa ini, itu bukanlah perancangannya."

- AFP

Berita Harian X