Sabtu, 15 Julai 2017 | 11:30pm

Muguruza julang mahkota Wimbledon


GARBINE Muguruza. - Foto EPA

LONDON: Garbine Muguruza yang tampil lebih bersemangat menjulang mahkota Wimbledon pertama dalam kariernya sebentar tadi, menafikan pemain Amerika Venus Williams 7-5, 6-0, dalam persembahan terbaiknya walaupun bermula sengit.

Dalam aksi final wanita pertama dilangsungkan di bawah bumbung Centre Court, permainan set pertama menyaksikan persembahan berkualiti kedua-dua pemain yang saling memegang servis masing-masing.

Muguruza menyelamatkan dua mata penamat pada game ke-10, pertamanya dalam permainan rali 19 pukulan yang berakhir dengan pukulan depan Venus terkandas di jaring.

Pemain Sepanyol itu kemudian mematahkan servis lawannya pada game berikut, juga menerusi permainan rali yang diakhiri dengan kesilapan Venus.

Pukulan lambung seterusnya membawa Muguruza yang menjulang gelaran grand slam pertama di Roland Garros tahun lalu, ke dua mata penamat set sebelum dia mengakhirinya dengan kemenangan.

Tiga game berturut-turut itu seolah-olah mematikan semangat Venus yang berusaha muncul pemain wanita tertua untuk menjulang trofi Wimbledon dalam 109 tahun, apabila dia tewas set kedua tanpa sebarang mata.

Muguruza, 23, pemain Sepanyol yang dilahirkan di Venezuela mengesahkan kemenangan bersejarah di Wimbledon itu apabila pukulan Venus terkeluar sedikit di garisan belakang. - RUETERS

Berita Harian X