X
Rabu, 26 Julai 2017 | 6:40pm
PENGURUS boling padang negara, Abdul Hadi Rasip (dua dari kiri) bersama Syed Mohamad (dua dari kiri) serta atlet boling padang, Auni Fathiah Kamis (kiri) dan Mohd Amir Mohammed Yusof (kanan) pada sidang media Program Kita Juara di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil. - Foto Luqman Hakim Zubir
PENGURUS boling padang negara, Abdul Hadi Rasip (dua dari kiri) bersama Syed Mohamad (dua dari kiri) serta atlet boling padang, Auni Fathiah Kamis (kiri) dan Mohd Amir Mohammed Yusof (kanan) pada sidang media Program Kita Juara di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil. - Foto Luqman Hakim Zubir

Usah terpedaya prestasi lawan - Syed Mohamad

KUALA LUMPUR: Skuad boling padang negara diingatkan usah tertipu dengan prestasi pemain negara Asia Tenggara lain, selepas mereka mudah mengungguli Kejohanan Pra-Sukan SEA 2017 minggu lalu dengan meraih enam pingat emas.

Jurulatih pasukan negara, Syed Mohamad Syed Akil berkata, kejayaan itu tidak harus membuatkan pemainnya mendabik dada kerana Filipina, Thailand dan Brunei tidak membariskan pemain sebenar yang akan beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

"Kejayaan pasukan menang enam emas, termasuk empat daripada skuad utama dan dua lagi dari pasukan pelapis di kejohanan itu memang memeranjatkan.

"Kalau dilihat daripada prestasi pemain, kita boleh menang lebih daripada empat emas di KL2017 nanti.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu terpedaya dan mengingatkan pemain supaya tidak terlalu dibuai keyakinan dengan kejayaan itu kerana ia bukan gambaran sebenar kekuatan lawan yang tidak menurunkan pasukan sebenar," katanya.

Bercakap pada sidang media Program Kita Juara di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini, Syed Mohamad berkata banyak faktor yang perlu diambil kira untuk memenangi emas pada hari pertandingan sebenar.

"Antara faktor penting ialah 'mood' atau emosi setiap pemain. Jika mood mereka bagus dan setiap balingan dibuat menjadi, maka tidak mustahil kita boleh menang lebih daripada empat emas," katanya.

Acara boling padang pernah menjadi penyumbang emas kepada kontinjen negara dengan kali terakhir ia dipertandingkan di Korat pada 10 tahun lalu, dengan Malaysia menang empat emas, satu perak dan satu gangsa.

Pada Manila 2005, kontinjen negara meraih tiga emas, dua perak dan satu gangsa dengan kali ini, Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) meletakkan sasaran empat emas di KL2017.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X