Ahad, 23 Julai 2017 | 7:13pm
NUR Thahira mewakili pasukan Persatuan Petanque Malaysia (PPM) beraksi pada peringkat akhir kategori bertiga wanita Kejohanan Petanque Antara Negeri kali Pertama di Arena Petanque Taman Rekreasi Pudu Ulu, Cheras hari ini. - Foto BERNAMA

KL2017: Nur Thahira tak gentar jumpa juara dunia

KUALA LUMPUR: Atlet petanque negara, Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz tidak gentar berdepan juara dunia dari Thailand, Phantipha Wongchuvej dalam acara beregu wanita pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Pemenang pingat gangsa bagi kategori beregu campuran bersama Syed Akmal Fikri Syed Ali pada Kejohanan Petanque Dunia di Belgium, April lalu itu, mempunyai motivasi tersendiri dan menganggap Phantipha mampu ditewaskan.

"Memang saya akui beliau sangat hebat dan saya lihat sendiri aksi beliau di Belgium tempoh hari. Namun kali ini beliau akan beraksi di dalam kategori beregu yang mana pasangannya adalah baharu digandingkan.

"Jadi, saya ambil perkara itu sebagai kelebihan kerana saya dan pasangan, Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali sudah lama digandingkan dan kami sudah mempunyai persefahaman yang baik," kata Nur Thahira kepada BERNAMA ketika ditemui pada Kejohanan sulung Petanque Antara Negeri di sini hari ini.

Pada kejohanan berkenaan yang hanya mempertandingkan kategori triple, Nur Thahira dan Sharifah Aqilah serta dua lagi rakan sepasukan Anis Amira Basri dan Suhartisera Zamri yang mewakili Persatuan Petanque Malaysia (PPM) muncul naib johan selepas tewas 11-13 dalam aksi final bertemu satu lagi wakil daripada PPM.

Johan kategori itu adalah trio yang akan mewakili skuad negara dalam Sukan SEA nanti yang dibarisi oleh Nur Farah Hana Musa, Nur Iman Aina Ahmad Sabti, Nurul Atiqah Abu Talib dan Nurashimah Senin.

Dalam pada itu, jurulatih kebangsaan, Zani Lisa Mohamed menaruh harapan tinggi terhadap pasukan triple lelaki negara dan percaya anak buahnya mampu menyumbang pingat emas buat kontingen negara.

"Mereka menunjukkan kualiti permainan yang sungguh cemerlang. Saya dapat melihat peningkatan yang amat ketara dalam kejohanan kali ini dan saya yakin mereka mampu mencipta kejayaan di Sukan SEA nanti," katanya.

Pasukan triple lelaki negara yang menjuarai kejohanan itu dibarisi oleh Azfar Hariz Mohd Aziz, Mohamad Hakeem Ahmad Saberi, Mohamad Syukri Kamaruddin dan Mohd Safi Azrol Othman.

Zani berkata Majlis Sukan Negara sebelum ini mensasarkan satu emas daripada skuad petanque iaitu untuk mempertahankan emas yang dimenangi oleh Muhammad Hafizuddin Mat Daud di Sukan SEA Singapura, dua tahun lalu.

Bagaimanapun menurut Zani, tidak mustahil anak buahnya melakar sejarah meraih lebih daripada satu pingat emas dan secara peribadi beliau menyatakan pasukannya mampu meraih sekurang-kurangnya dua pingat emas di temasya itu.

-- BERNAMA

Berita Harian X