Selasa, 1 Ogos 2017 | 10:35pm
BERITA kelahiran bayi Ziyad yang dikongsi Khalilah Aqilah di laman sosial Facebook. - Foto ihsan Khalilah Aqilah

Ziyad timang cahaya mata

KUALA LUMPUR: Jaguh paralimpik negara, Mohd Ziyad Zolkefli bergelar bapa selepas isterinya, Zafira Md Nasir selamat melahirkan anak sulung mereka di Hospital Pakar An-Nur Bangi, petang tadi.

Kelahiran cahaya mata perempuan itu selepas 16 hari dia melakar sejarah memenangi pingat emas dan memecahkan rekod dunia miliknya dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Pada kejohanan itu, Ziyad melakukan lontaran sejauh 17.29 meter (m), mengatasi rekod lama 16.48m yang dilakukannya di Sukan Olimpik Rio 2016.

Kehadiran orang baharu itu sudah tentu menjadi tonik terbaik kepada Ziyad yang akan bertarung menentang atlet normal pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), yang akan disingkap tirainya 19 Ogos ini.

Ziyad juga akan beraksi dalam Sukan Para ASEAN dari 17 hingga 23 September.

Ziyad dan Zafira mendirikan rumah tangga pada November tahun lalu, selepas dia meraih emas di Rio 2016.

Berita Harian X