Rabu, 2 Ogos 2017 | 7:03pm
ATLET lempar cakera wanita negara, Yap Jeng Tzan ketika beraksi pada Sukan Asian Universiti Palembang 2014. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KL2017: Jeng Tzan tangguh pembedahan demi negara

KUALA LUMPUR: Atlet lempar cakera wanita, Yap Jeng Tzan terpaksa membuat pengorbanan besar untuk mewakili negara pada Sukan SEA ke-29 bermula 19 hingga 30 Ogos ini dengan menangguhkan pembedahan lututnya.

Atlet berusia 30 tahun dari Negeri Sembilan itu yang menghadapi kecederaan berulang di lutut kirinya, terpaksa melupakan penampilan keempat di temasya sukan dwitahunan itu sekiranya melakukan pembedahan pada tahun ini.

Pemenang pingat perak Sukan SEA Singapura 2015 dengan lemparan sejauh 46.95m itu juga langsung tidak mempunyai keinginan untuk bersara dalam masa terdekat kerana masih 'mencintai' sukan itu dan mahu mewakili negara sehingga mendapat pengganti.

"Saya telah melakukan pembedahan sebanyak dua kali sebelum ini dan kadang-kala masih rasa sakit pada lutut. Buat masa ini saya masih menjalani fisioterapi dan rawatan dengan pakar Institut Sukan Negara (ISN).

"Saya juga telah mendapat persetujuan jurulatih, Frantisek Petrovic untuk menukar cara latihan yang tidak meningkatkan risiko kecederaan di bahagian berkenaan, " katanya pada sidang media program Kita Juara bersama skuad olahraga di Majlis Sukan Negara di sini, hari ini.

Jeng Tzan, yang kali pertama mewakili negara di Sukan SEA 2007 di Thailand, diikuti Indonesia (2011) dan Singapura (2015), mengakui akan menerima tentangan sengit juara bertahan, Subenrat Insaeng dari Thailand yang mencatatkan rekod kejohanan dengan lemparan 59.56m, selain turut beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016.

"Saya memang mahu menang emas untuk negara, tetapi secara realiti Subenrat jauh lebih baik. Apa pun, semuanya bergantung kepada prestasi pada hari kejohanan dan siapa yang melakukan yang terbaik pada hari kejadian, dia akan menang," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Zainal Abas yakin pingat emas pertama Malaysia dalam sukan olahraga akan dihadiahkan oleh atlet lempar cakera lelaki, Muhammad Irfan Samsuddin pada hari pertama acara olahraga berlangsung, iaitu 22 Ogos.

"Muhammad Irfan berada dalam berada keadaan terbaik dan telah memecahkan rekod kebangsaan sebanyak tiga kali (61.10m, 61.56m dan 62.25m) pada tahun ini.

"Beliau berada dalam landasan tepat untuk mempertahankan pingat emas acara itu," katanya. - Bernama

Berita Harian X