Khamis, 3 Ogos 2017 | 5:10pm
BEKAS pemain hoki kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi (tengah) bersama sebahagian bekas pemain hoki menunjukkan buku 'The Sticks' pada Majlis Penyerahan Tajaan TNB untuk Sukan SEA KL2017. - Foto Luqman Hakim Zubir

KL2017 berjaya tarik minat GLC beri tajaan

KUALA LUMPUR: Penganjuran temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN kesembilan (KL2017) berjaya menarik penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta tempatan serta antarabangsa untuk menjadi penaja, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy, Jamaluddin Abu Bakar.

"Sehingga kini sebanyak 40 syarikat bekerjasama menaja temasya kali ini dengan jumlah penajaan melebihi RM100 juta," katanya dalam sidang akhbar di Dewan Serba guna, Kompleks Sukan TNB, hari ini.

Berbaki 16 hari saja lagi sebelum temasya itu berlangsung secara rasmi, Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) hari ini menerima penajaan terbaharu daripada syarikat pembekal elektrik bersepadu terbesar negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pembabitan TNB dalam KL2017 adalah sebagai penaja emas dan dikenali sebagai Rakan Rasmi Tenaga dengan jumlah sumbangan antara RM3 juta dan RM7.5 juta merangkumi wang tunai dan barangan berbentuk set penjana yang akan dibekalkan untuk kegunaan ketika temasya berlangsung.

Penyerahan penajaan TNB disampaikan oleh Ketua Pegawai korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman kepada Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC, Datuk Seri Zolkples Embong.

Kerjasama berkenaan adalah kolaborasi pertama TNB dengan Kementerian Belia dan Sukan serta dalam sejarah penganjuran Sukan SEA.

"Kepercayaan TNB dan rakan-rakan penaja yang lain...ia menjadi petanda bahawa temasya sukan ini telah berjaya membangkitkan minat banyak syarikat untuk menyokong usaha berkenaan sukan.

"Penajaan bukan saja bersifat CSR (tanggungjawab sosial korporat) tetapi sukan secara amnya telah menjadi platform pemasaran yang diiktiraf dan semakin popular untuk memasarkan identiti korporat masing-masing," kata Khairy.

Terdahulu Roslan dalam ucapannya, berkata TNB telah menilai dan mempertingkatkan sistem bekalan elektrik di semua venue utama sejak setahun lalu.

"Sepanjang berlangsungnya KL2017, kami menubuhkan bilik gerakan yang beroperasi 24 jam di mana pasukan teknikal akan berada dalam keadaan tunggu sedia di lokasi-lokasi strategik seperti Stadium Nasional Bukit Jalil, kawasan sekitar KL Sports City, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, MITEC (Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia) dan Putrajaya serta venue-venue khusus di Negeri Sembilan, Kedah dan Terengganu," katanya.

Sempena majlis berkenaan, TNB turut melancarkan sebuah buku mewah bertajuk 'The Sticks' yang disempurnakan pelancarannya oleh Khairy.

Buku berkenaan merakam detik-detik pembabitan TNB dalam pembangunan hoki negara yang bermula dari era Central Electricity Board atau CEB sejak hampir 70 tahun yang lalu.

Pada majlis itu juga TNB menyampaikan insentif berjumlah RM52,000 kepada pasukan hoki lelaki kebangsaan yang berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia Hoki 2018. - BERNAMA

Berita Harian X