Rabu, 9 Ogos 2017 | 8:38pm
RATU pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli. - Foto Rosli Rahmat

Husniah ketepikan isu pengguguran S Komalam

KUALA LUMPUR: Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli enggan memikirkan masalah yang terjadi dalam kem 4x100 meter (m) wanita negara ketika saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) kini berbaki sembilan hari lagi.

Atlet berusia 24 tahun itu juga mengakui keserasian antara pelari amat penting dan kehilangan rakan sepasukan, S Komalam Shally yang digugurkan akibat masalah disiplin tidak sedikit pun memberikan kesan kepadanya.

"Saya akan mengetepikan isu ini (pengguguran Komalam) kerana Sukan SEA sudah dekat dan benda ini sudah pun berlaku. Jadi kita hanya fikir ke depan iaitu apa akan terjadi di Sukan SEA nanti.

"Sekarang saya hanya berikan tumpuan di Sukan SEA dan saya tidak mahu memikirkan mengenai apa terjadi dalam pasukan 4x100m walaupun sudah bersama Komalam sebelum Sukan SEA Singapura 2015 lagi.

"Acara ini memerlukan kerjasama yang kuat, tak kisah siapa pelari yang beraksi sekali pun," kata Zaidatul ketika ditemui di sesi latihan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Pada sesi latihan skuad olahraga yang berlangsung petang tadi, ketua kontinjen negara, Datuk Marina Chin turut mengadakan lawatan ke venue latihan selain menyampaikan amanat dan kata-kata semangat kepada atlet kebangsaan menjelang KL2017, minggu depan.

Mengulas lanjut, Zaidatul memaklumkan khidmat pelari simpanan amat penting dalam pasukan kerana mereka boleh membantu jika berlaku perkara tidak dijangka seperti pengguguran yang membabitkan Komalam.

Zaidatul yang akan tampil dalam acara 100m, 200m dan 4x100m di KL2017 turut menjelaskan tumpuannya ketika ini adalah mencari keserasian bersama rangkaian 4x100m lain terutama membabitkan pertukaran baton yang menjadi turut menjadi nadi utama kejayaan atlet.

Untuk rekod, semalam Pengurus Pasukan Olahraga ke Sukan SEA, Datuk Salim Parlan mengesahkan pelari pecut ketiga terpantas negara, Komalam digugurkan kerana mempunyai masalah disiplin.

Komalan digugurkan daripada pasukan pada 4 Ogos dan membuat rayuan sehari selepas itu, bagaimanapun KOM tetap dengan keputusan untuk menolak rayuan atlet berkenaan.

Pengguguran itu menyaksikan hanya lima atlet ketika ini perlu merebut slot dalam acara berpasukan itu diketuai Zaidatul Husniah, Siti Fatima Mohamad, Azreen Nabila Alias, Fathin Faqihah Mohd Yusof dan Norris Foo.

15 dibaca
Berita Harian X