Isnin, 14 Ogos 2017 | 4:52pm
PEMAIN boling negara, Muhammad Rafiq Ismail. - Foto Osman Adnan
PEMAIN boling negara, Muhammad Rafiq Ismail. - Foto Osman Adnan

Rafiq mahu manfaat kelebihan beraksi di laman sendiri

KUALA LUMPUR: Pemain boling negara, Muhammad Rafiq Ismail berazam untuk memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di tempat sendiri dengan meraih keputusan lebih baik berbanding Sukan SEA Singapura pada 2015.

Ketika ditemui di sini, hari ini, beliau berkata, ketika ini dia sudah merasai bahang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang akan membuka tirai secara rasmi pada Sabtu ini.

"Dua tahun lalu saya berjaya memenangi tiga pingat emas dan satu perak di Singapura. Jadi di sini, saya mahukan pencapaian yang lebih baik dari yang lalu.

"Saya juga harap dapat kekalkan pingat emas dalam berpasukan lelaki dan lebih baik jika mampu menambah pingat emas dalam kategori lain," kata pemain itu yang meraih emas dalam acara perseorangan lelaki, trio lelaki dan 5 berpasukan lelaki serta perak Masters di Singapura 2015.

Mengulas lanjut, Muhammad Rafiq turut menafikan memiliki kelebihan apabila dilabel sebagai pemain pilihan pada temasya kali ini.

Katanya, kini semakin ramai pemain menampilkan peningkatan namun menegaskan dirinya dan rakan sepasukan sudah bersedia sepenuhnya.

"Pemain boling ketika ini sudah bagus dan antara negara yang saya jangkakan bakal berikan saingan hebat seperti Thailand, Indonesia dan Singapura," katanya.

Pada temasya kali ini, skuad negara membariskan enam pemain lelaki iaitu Alex Liew, Adrian Ang, Timmy Tan, Muhammad Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Ahmad Muaz Mohd Fishol selain Muhammad Rafiq.

Pemain wanita pula adalah Sin Li Jane, Esther Cheah, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Shalin Zulkifli dan Natasha Roslan, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 12 pemain.

Sukan boling dijadual bermula pada 20 hingga 25 Ogos ini dan akan berlangsung di Sunway Mega Lanes, Petaling Jaya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X