Sabtu, 19 Ogos 2017 | 7:11pm
KETUA jurulatih, Holloway Cheah (kiri) memberi arahan kepada anak buahnya pada sesi latihan di Sunway Megalanes. - Foto Danial Saad
KETUA jurulatih, Holloway Cheah (kiri) memberi arahan kepada anak buahnya pada sesi latihan di Sunway Megalanes. - Foto Danial Saad

'Tewaskan kami jika mampu'

KUALA LUMPUR: "Tewaskan kami jika anda mampu!" Itu jawapan ketua jurulatih boling negara, Holloway Cheah ketika ditanya apakah Malaysia mampu mempertahankan gelaran juara keseluruhan Sukan SEA kali ini.

Dalam sesi latihan di Sunway Mega Lanes hari ini, kesemua 12 atlet boling negara sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaan lorong, dalam kedua-dua paten minyak - panjang dan pendek menjelang saingan individu lelaki dan wanita yang bermula esok.

"Kesemua 12 atlet (enam lelaki dan enam wanita) adalah yang terbaik pernah saya kumpulkan sejak mula melatih pasukan kebangsaan pada tahun 2000," kata Holloway.

"Setiap orang di dalam kedua-dua pasukan mampu meraih kemenangan dan saya yakin dengan kemampuan mereka.

"Saingan pembukaan adalah yang paling sukar dalam mana-mana kejohanan. Saya sering ingatkan atlet supaya sentiasa bermain pada tahap terbaik mereka. Keputusan akan hadir selagi mereka bermain dengan baik.

"Perkara lain serahkan kepada saya. Tanggungjawab saya ialah memastikan mereka beraksi pada 100 peratus. Mereka tidak perlu fikirkan faktor luar,"

Acara individu wanita dijangka menampilkan saingan sengit antara juara Jelajah Persatuan Pemain Boling Wanita Profesional (PWBA) dari Malaysia dan Singapura.

Dua wakil negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman memenangi Jelajah PWBA Terbuka Wichita manakala Sin Li Jane mengungguli Terbuka Lincoln, Jun lalu.

Sementara itu, Jazreel Tan dari Singapura memenangi Terbuka Lubbock Sports pada tahun 2015, diikuti Bernice Lim di USBC Queens, Cherie Tan di Terbuka Sacramento dan New Hui Fen di Terbuka Smithfield - semuanya diraih tahun lalu.

"Boling sukar dijangka dan mana-mana pemain mampu memenanginya esok. Bagi pasukan wanita, mereka sudah bersedia untuk berjuang hingga ke akhir," kata Holloway yang kali terakhir melihat emas perseorangan wanita adalah menerusi Shalin Zulkifli ketika edisi Kuala Lumpur 2001.

Siti Safiyah dan Sin Li Jane ketika ini menerajui pasukan wanita, tetapi kehadiran Shalin, Natasha Roslan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan juara dunia dua kali, Esther Cheah mampu menggentarkan mana-mana lawan di rantau ini.

Dalam acara perseorangan lelaki, Thailand dan Indonesia mempunyai kelebihan berbanding pasukan lain.

Juara bertahan, Rafiq Ismail mengetuai cabaran negara yang turut menampilkan Alex Liew, Adrian Ang, Syafiq Ridhwan Abdul Malek dan Timmy Tan.

"Singapura cukup serius dalam kejohanan ini. Mereka mempunyai barisan jurulatih paling ramai di sini untuk membimbing pasukan lelaki dan wanita mereka.

"Malah mereka turut mengambil bekas jurulatih Malaysia, Sid Allen sebagai penasihat. Indonesia mempunyai Purvis Granger yang pernah melatih skuad remaja negara.

"Tetapi saya langsung tidak gentar dengan mereka. Allen dan Granger mungkin mempunyai maklumat mengenai pasukan kita, tetapi kami juga mengetahui tentang mereka. Ia bukan masalah," kata Holloway.

Keseluruhan 11 emas ditawarkan dengan acara beregu campuran dipertandingkan buat julung kalinya di temasya ini.

Malaysia muncul juara keseluruhan dalam enam daripada tujuh edisi sebelum ini.

Berita Harian X