Sabtu, 19 Ogos 2017 | 7:17pm
RAFIQ Ismail kembali menjadi taruhan terbaik negara apabila sukan boling. - Foto Osman Adnan
RAFIQ Ismail kembali menjadi taruhan terbaik negara apabila sukan boling. - Foto Osman Adnan

Rafiq sandaran emas pertama boling

KUALA LUMPUR: Mencipta kejayaan dengan tiga pingat emas pada penampilan sulung di Sukan SEA 2015 Singapura, Rafiq Ismail kembali menjadi taruhan terbaik negara apabila sukan boling membuka saingan esok.

Jika dua tahun lalu Rafiq membawa pulang emas acara perseorangan, trio dan berpasukan lelaki, pemain kidal itu berhasrat untuk melakukan kejayaan yang sama apabila beraksi di laman sendiri.

"Kalau boleh saya berharap sangat dapat mempertahan emas lalu tetapi apa pun saya tak nak letak tekanan sangat untuk memperoleh kesemua tiga emas.

"Sasaran utama saya adalah emas dalam acara berpasukan kerana yakin dengan kemampuan kami," kata atlet berumur 20 tahun itu.

Bakal beraksi di Sunway Megalanes, Rafiq berkata dia percaya kekuatan rakan pasukannya apabila mereka masing-masing memperoleh gelaran dalam tujuh kejohanan pada tahun ini.

Selain Rafiq, skuad lelaki negara bakal diwakili Syafiq Ridhwan, Ahmad Muaz Mohd Fishol, Alex Liew, Timmy Tan dan Andrian Ang.

"Saya rasa pada penyertaan kedua saya di Sukan SEA kali ini, saya lebih bersedia apatah lagi seluruh ahli keluarga saya akan hadir untuk memberikan sokongan," katanya.

Dalam sukan boling yang mula dipertandingkan esok, dua pingat emas bakal menjadi rebutan dalam kategori perseorangan lelaki dan wanita.

Berita Harian X