Selasa, 22 Ogos 2017 | 8:11pm
PEMAIN boling negara, Muhd Rafiq Ismail (kiri) dan Sin Li Jane memperagakan pingat emas yang dimenangi dalam acara boling beregu campuran Sukan SEA KL2017 di Sunway Megalanes. - Foto Danial Saad
PEMAIN boling negara, Muhd Rafiq Ismail (kiri) dan Sin Li Jane memperagakan pingat emas yang dimenangi dalam acara boling beregu campuran Sukan SEA KL2017 di Sunway Megalanes. - Foto Danial Saad

Gandingan emas baharu Rafiq-Li Jane

PETALING JAYA: Rafiq Ismail bangun agak lewat pagi tadi dan memeriksa jatuhan pin yang dilakukan pasangan campuran senegara Alex Liew-Shalin Zulkifli menerusi telefon mudah alihnya yang berlangsung di Sunway Mega Lanes.

"Pungutan pin mereka agak tinggi dan saya menghantar teks mesej kepada pasangan saya, Sin Li Jane untuk memberitahu mengenainya kerana giliran kami bertanding ialah di sebelah petang.

"Saya berazam untuk menang emas hari ini, selepas kecewa dalam acara berpasangan lelaki semalam di mana saya melakukan kesilapan pada frame terakhir.

"Kami sengaja memilih sesi sebelah petang kerana mahu melihat pungutan pin yang diperlukan untuk memenangi pingat.

"Memang ada tekanan sebelum game pertama, tetapi saya rasa tekanan itu memberikan lebih dorongan kepada saya untuk beraksi lebih baik hari ini. Kami saling membantu," kata Rafiq, sebentar tadi.

PEMAIN boling negara, Muhd Rafiq Ismail (kanan) memeluk ibunya Zaiton abd Ghani, 57, sambil diperhatikan ayahnya Ismail Nimat, 63, selepas memenangi pingat emas dalam acara boling beregu campuran Sukan SEA KL2017 di Sunway Megalanes. - Foto Danial Saad
PEMAIN boling negara, Muhd Rafiq Ismail (kanan) memeluk ibunya Zaiton abd Ghani, 57, sambil diperhatikan ayahnya Ismail Nimat, 63, selepas memenangi pingat emas dalam acara boling beregu campuran Sukan SEA KL2017 di Sunway Megalanes. - Foto Danial Saad

Rafiq-Li Jane akhirnya mengumpul lebih 13 pin berbanding Alex-Shalin untuk memastikan emas dalam acara berpasangan campuran itu, dengan mengumpul keseluruhan 2,816 untuk sepanjang enam game, berbanding 2,803 pin yang dikumpul Alex dan Shalin.

Gangsa dimenangi pasangan Thailand, Annop Arromsaranon-Yanee Saebe yang mengumpul 2,769 jatuhan pin.

Rafiq juga mengumpul 1,508 jatuhan pin, atau purata 251.33, berbanding 1,308 yang dilakukan pasangannya Li Jane (218.00).

Ia adalah pingat emas ketiga dari gelanggang boling, selepas kejayaan Rafiq dalam lelaki individu pada Ahad lalu dan Alex-Syafiq Ridhwan Abd Malek (lelaki berpasangan) semalam.

Li Jane berkata: "Apabila terbaca mesej Rafiq mengenai mata keseluruhan Alex-Shalin, saya memberitahunya bahawa kami boleh bermain lebih baik dan menewaskan mereka.

"Jujurnya, ini adalah kali pertama kami bergandingan. Malah, kami tak pernah berlatih bersama. Rafiq memberitahu saya, dia berazam untuk mengumpul 1,600 pin hari ini.

"Walaupun tak kesampaian, purata jatuhan pin yang dilakukannya tetap memberangsangkan.

"Dia bermain dengan baik. Saya harap kami akan meneruskan momentum ini pada baki saingan.

"Kita masih belum memenangi emas menerusi acara wanita dan harap-harap ia akan menjadi kenyataan," kata Li Jane yang memenangi Terbuka Lincoln Jelajah Persatuan Pemain Boling Wanita Profesional (PWBA) pada Jun lalu.

Esok, saingan boling Sukan SEA 2017 diteruskan dengan acara trio lelaki dan wanita.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X