Rabu, 23 Ogos 2017 | 5:19pm
SHALIN Zulkifli (kiri), Si Li Jane (tengah) dan Esther Cheah meraih pingat emas pada acara trio wanita di Sunway Mega Lanes, sebentar tadi. - Foto Danial Saad

Trio boling wanita gondol emas

SHALIN Zulkifli, Esther Cheah dan Si Li Jane menggondol pingat emas keempat negara dalam boling Sukan SEA 2017 apabila menguasai acara trio wanita di Sunway Mega Lanes.

Malaysia turut meraih pingat gangsa menerusi gandingan Natasha Roslan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi.

Kejayaan pingat emas trio wanita itu adalah yang pertama buat Malaysia sejak temasya di Korat pada 2007.

Shalin, Esther dan Li Jane mengumpul 3,835 jatuhan pin dengan purata 228.50.

Untuk rekod, pingat emas berkenaan adalah yang ke-18 buat Shalin dalam Sukan SERA sejak membuat kemunculan sulung pada temasya di Singapura pada 1993.

Sementara itu, trio Singapura, Cherie Tan, New Hui Fen dan Shayna Ng membenam 3,795 pin untuk pingat perak manakala gandingan negara, Natasha, Siti Safiyah dan Syaidatul dengan 3,785 jatuhan pin untuk gangsa.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi trio lelaki Malaysia apabila gagal menamatkan saingan di podium.

Boling akan meneruskan jadual dengan acara berpasukan lelaki dan wanita di mana skuad negara sekali lagi tampil sebagai pilihan.

Berita Harian X