Rabu, 23 Ogos 2017 | 7:25pm

KL2017: Trio boling wanita tamatkan kemarau 10 tahun emas

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (kanan) menyampaikan pingat emas kepada pemain boling negara, (dari kiri) Shalin Zulkifli, Sin Li Jane dan Ester Cheah dalam acara boling trio wanita Sukan SEA KL2017 di Sunway Megalanes. - Foto Danial Saad
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (kanan) menyampaikan pingat emas kepada pemain boling negara, (dari kiri) Shalin Zulkifli, Sin Li Jane dan Ester Cheah dalam acara boling trio wanita Sukan SEA KL2017 di Sunway Megalanes. - Foto Danial Saad

KUALA LUMPUR: Persembahan konsisten trio boling wanita negara diketuai Shalin Zulkifli membolehkan Malaysia meraih pingat emas acara ini di hadapan sorakan gemuruh penonton di Sunway Mega Lanes, hari ini.

Shalin menggunakan pengalamannya untuk mengutip mata tertinggi berbanding rakan sepasukan Esther Cheah (1,240) dan Sin Li Jane (1,225) dalam enam permainan bagi membolehkan trio ini dinobatkan selaku juara edisi 2017 dengan 3,835 jatuhan pin secara keseluruhan.

Kejayaan meraih emas temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (Kl2017) itu turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Di sebalik sokongan padu penonton, trio wanita negara menghadirkan detik gembira apabila menamatkan kemarau 10 tahun emas dalam acara ini - kali terakhir dimenangi gandingan Shalin, Esther dan Zatil Iman di Sukan SEA Korat, Thailand pada 2007.

PEMAIN boling negara, Shalin Zulkifli (kanan), Ester Cheah (tengah), dan Sin Li Jane dalam acara trio wanita Sukan SEA KL2017 di Sunway Megalanes. - Foto Danial Saad
PEMAIN boling negara, Shalin Zulkifli (kanan), Ester Cheah (tengah), dan Sin Li Jane dalam acara trio wanita Sukan SEA KL2017 di Sunway Megalanes. - Foto Danial Saad

Lebih manis, Malaysia turut meraih pingat gangsa dalam acara sama menerusi trio - Natasha Roslan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi.

Gandingan itu mencatatkan 3,785 jatuhan pin, kurang 10 mata di belakang trio Singapura (Cherie Tan, New Hui Fen dan Shayna Ng) yang memenangi perak.

"Kami sudah lama tidak memenangi pingat dalam acara trio wanita di Sukan SEA dan kali terakhir adalah pada 2007 di Korat, Thailand.

"Ini kemenangan yang sangat manis buat kami kerana pasukan wanita kita bukan saja memenangi emas tetapi juga gangsa.

"Saya rasa antara satu faktor kejayaan kami adalah kesabaran, walaupun kadang kala tidak 'strike', tetapi kami lakukan 'spare' dan terus kekal dengan corak permainan kami.

"Itu yang membuatkan kami berjaya meraih emas," kata Shalin yang memenangi emas ketika ditemui sejurus tamat perlawanan, di sini, hari ini.

Bagi Syaidatul Afifah, pingat gangsa sudah memadai untuk dijadikan motivasi kerana dua trio negara berada di atas podium, sekali gus menjadi tonik tambahan untuk beraksi dalam acara berpasukan wanita selepas ini.

Kejayaan enam pemain wanita boling negara menaiki podium dalam acara trio wanita turut mengubat kekecewaan buat trio lelaki.

Gandingan Adrian Ang, Ahmad Muaz Mohd Fishol dan Muhammad Rafiq Ismail menduduki tempat keempat dengan 3,824 manakala satu lagi pasangan di tempat keenam.

Pingat emas dan perak trio lelaki masing-masing menjadi milik Thailand dengan jatuhan 4,113 pin dan 3,913 jatuhan pin, sementara Indonesia membawa pulang gangsa (3,880).

Ends

Berita Harian X