Sabtu, 26 Ogos 2017 | 10:09am
PEMAIN Thailand, Joongjit Boonmee diasak pemain negara, Nuraini Rashid pada aksi hoki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Bukit Jalil, semalam. - Foto Aizuddin Saad

Nuraini lega kejayaan benam Thailand

KUALA LUMPUR: Pertahanan hoki wanita negara, Nuraini Rashid mengakui lega dengan kejayaan membenam Thailand 3-0 semalam selepas pada awalnya bergelut dengan corak permainan bertahan pasukan lawan.

Pada aksi itu, Malaysia yang menundukkan Indonesia 11-0 dan Singapura 5-0 dalam perlawanan terdahulu, berhempas-pulas untuk menembusi gawang lawan yang dikawal oleh Alisa Naruengram.

Bagaimanapun, kekebalan Alisa akhirnya lebur apabila Hanis Nadiah Onn berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-31 sebelum jaringan Nuraini dan Surizan Awang Noh mengesahkan tiket Malaysian Tigress ke final.

"Nak kata koyak mental pun tidak dan kami juga tidaklah begitu tertekan 100 peratus apabila gagal menembusi pintu gol lawan, ia cuma disebabkan beberapa kesilapan kami sendiri.

"Dan Alhamdulillah atas sikap tidak berputus asa akhirnya gol yang dinanti-nantikan itu tiba," kata Nuraini dalam nada yang lega.

Thailand yang terdesak mencari kemenangan bagi merampas kedudukan kedua daripada Singapura, turun pada aksi itu lebih banyak 'berkampung' di kawasan D sendiri dengan hanya sekali sekala melancarkan serangan balas.


PEMAIN negara, Zafirah Aziz diasak pemain Thailand, Supansa Samanso pada aksi hoki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Bukit Jalil, semalam. - Foto Aizuddin Saad

Taktikal itu hampir menjadi apabila pertahanan skuad tuan rumah dilihat beberapa kali naik menyerang terlalu tinggi sehingga menyaksikan kaptennya Siti Noor Amarina Ruhani terpaksa melakukan 'kerja kotor' bagi mematahkan serangan kilat Thailand.

Namun, rentak perlawanan terus berubah sejurus Hanis menghadiahkan skuad negara di ranking ke-22 dunia jaringan pertama perlawanan dan perkara itu diakui Nuraini.

"Memang lega sebab untuk mendapat jaringan pertama memang agak sukar, kita tahu selepas mendapat gol pertama ia akan bertambah mudah... Thailand juga boleh bermain hoki dan semakin meningkat."

Dengan kemenangan malam tadi, The Malaysian Tigress yang menghuni ranking ke-22 dunia mara ke final dengan berbaki satu perlawanan berdepan Myanmar hari ini.

Lawan Malaysia dalam final adalah pemenang tempat kedua yang menjadi rebutan di antara Thailand dan Singapura, yang akan berdepan sesama sendiri hari ini.


PEMAIN negara, Hanis Onn (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Thailand pada aksi hoki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Bukit Jalil, semalam. - Foto Aizuddin Saad

Berita Harian X