Sabtu, 26 Ogos 2017 | 5:56pm
PEMAIN Malaysia, (dari kiri) Nur Iman Aina Ahmad Sabti, Nurashimah Senin, Nurul Atiqah Abu Talib dan Nur Farah Hana Musa bersama pingat perak bertiga wanita Petanque Sukan SEA KL 2017 di Arena Petanque KL. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KL2017: Kurang pengalaman punca terlepas emas

KUALA LUMPUR: Kekurangan pengalaman menyebabkan pasukan petanque wanita negara terlepas pingat emas dalam perlawanan akhir acara triples wanita kepada Laos, hari ini.

"Biarpun kita mendahului di awal permainan, kekurangan pengalaman menjadi punca kekalahan pemain kita hari ini.

"Macam shooter kita (Nurashimah Senin) baru saja menyertai pasukan pada Februari lalu dan belum pernah menyertai kejohanan luar lagi... kelemahan kita itu begitu ketara apabila berada di tahap genting," kata jurulatih skuad petanque negara, Zani Lisa Mohamed di Arena Petanque Kuala Lumpur, hari ini.

Dibarisi dengan pemain yang julung kalinya menyertai Sukan SEA, pemain negara yang dibarisi Nurashimah, Nur Farah Hana Musa, Nur Iman Aina Ahmad Sabti dan Nurul Atiqah Abu Talib (simpanan) tewas 13-8 kepada Laos yang dibarisi pemain berpengalaman Souksavat Khoun, Vongsavath Chansamone, Vongsavath Mimee dan Sisavath Chindavone (simpanan).


NURASHIMAH membuat balingan ketika menentang pasukan Vietnam dalam acara Petanque separuh kategori bertiga wanita Sukan SEA KL 2017 di Arena Petanque KL. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Namun Zani berkata, pingat perak itu tetap berharga dan menjadi bonus buat negara kerana tiada sasaran emas disandarkan kepada pemain negara, apatah lagi berdepan Laos yang sudah empat kali bertanding di Sukan SEA.

"Saya lihat pemain wanita negara ini mampu menyerlah di masa akan datang dan kita akan cuba menguatkan pemain negara bagi persediaan menghadapi Sukan Olimpik 2024 di Paris," katanya.

Malaysia pada mulanya mendahului hingga kedudukan 8-3 sebelum Laos bangkit merapatkan jurang dengan mendahului 8-7.

Atlet Laos membuktikan kehebatan mereka apabila menambah enam mata selepas itu bagi mengesahkan pingat emas.

Sementara itu, triples lelaki negara yang dibarisi Mohamad Hakem Ahmad, Muhammad Syukri Kamaruddin, Mohd Safi Azrol Othman dan Azfar Haris Mohd Aziz (simpanan) sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa apabila tewas 13-0 kepada Thailand pada separuh akhir.

Berita Harian X