Sabtu, 26 Ogos 2017 | 8:54pm
PELUMBA basikal Negara, Azizulhasni Awang ketika menjalani latihan basikal trek menjelang Sukan Sea KL2017 di Velodrome Nasional Nilai. - Foto Hazreen Mohamad
PELUMBA basikal Negara, Azizulhasni Awang ketika menjalani latihan basikal trek menjelang Sukan Sea KL2017 di Velodrome Nasional Nilai. - Foto Hazreen Mohamad

KL2017: Temasya terakhir Azizulhasni

NILAI: Juara Keirin Dunia 2017, Azizulhasni Awang berkata temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur (KL2017) ini adalah yang terakhir untuk dirinya bagi memberi laluan kepada pelumba pelapis, selain mahu fokus kepada Sukan Komanwel dan Olimpik Tokyo.

Beliau berkata, temasya dwitahunan itu di Korat 2007 sepatutnya menjadi penampilan sulung dan terakhirnya, namun untuk KL2017 beliau sanggup menyertainya kerana teruja untuk beraksi di laman sendiri.

"Sukan SEA selepas ini saya akan bagi peluang pada generasi muda. Kalau betul-betul memerlukan bolehlah. Kalau boleh, saya nak beri peluang kepada generasi pelapis sebagai pendedahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjalani latihan di Velodrom Nasional di sini, hari ini.

Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata beliau secara jujurnya tidak berasa tertekan, malah sangat teruja untuk melakukan yang terbaik di depan penyokong sendiri.

"Saya sangat rasa teruja dan sebab itulah saya pulang untuk beraksi di hadapan penonton tuan rumah (Malaysia) yang 95 peratus tidak pernah melihat saya beraksi secara live, biasanya lihat di televisyen, internet dan sebagainya sahaja.

"Jadi inilah peluang kepada rakyat Malaysia untuk lihat saya beraksi dalam keirin dan pecut. Semoga dengan adanya velodrom ini, ia akan membuka mata dan pemahaman rakyat Malaysia mengenai acara berbasikal trek," katanya.

Mengulas mengenai persiapan, Azizul yang turut diberi gelaran 'The Pocket Rocketman' berkata, hari ini adalah sesi latihan akhir beliau dan rakan gandingannya Muhammad Shah Firdaus Sharom, sebelum berlumba pada Isnin dan Selasa depan.

AZIZULHASNI (kanan) berbincang bersama jurulatihnya, John Beasley (kiri) ketika menjalani latihan basikal trek menjelang Sukan Sea KL2017. - Foto Hazreen Mohamad
AZIZULHASNI (kanan) berbincang bersama jurulatihnya, John Beasley (kiri) ketika menjalani latihan basikal trek menjelang Sukan Sea KL2017. - Foto Hazreen Mohamad

"Feedback daripada jurulatih tadi, tengok daripada pergerakan kami berada dalam keadaan yang terbaik. Saya dan (Muhammad) Shah (Firdaus) amat teruja untuk beraksi lusa nanti," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata skuad berbasikal trek baik daripada kumpulan pecut mahupun endurance sudah bersiap sepenuhnya mental dan fizikal untuk tuaian emas.

"Selaku (orang) paling senior dalam berbasikal trek, saya harap semua atlet trek dapat membawa pulang emas dalam semua acara yang disertainya.

"Untuk capai sasaran 111 emas, diharap basikal dapat sumbang 13 daripada acara trek," katanya.

Acara trek akan membuka tirainya esok menerusi acara omnium wanita, pecut berpasukan lelaki/wanita dan scratch lelaki.

Keseluruhan 13 pingat ditawarkan pada acara trek di Velodrom Nasional. - BERNAMA

Berita Harian X