Ahad, 27 Ogos 2017 | 5:04pm
ATLET gimnas negara, Amy Kwan Dict Weng ketika melakukan disiplin clubs dalam acara gimnastik berirama individu keseluruhan wanita Sukan Sea KL2017 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia. - Foto Muhaizan Yahya
Amy Kwan ketika melakukan disiplin ball dalam acara gimnastik berirama individu keseluruhan wanita Sukan Sea KL2017 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia. - Foto Muhaizan Yahya

KL2017: Peluang Amy Kwan tebus kekalahan esok

KUALA LUMPUR: Gimnas negara, Amy Kwan Dict Weng seakan ditakdirkan untuk menjadi watak kedua kepada Koi Sie Yan pada temasya Sukan SEA kali ini selepas terus dibayangi kejayaan rakan senegaranya itu.

Pagi tadi, Sie Yan yang berusia 18 tahun mengesahkan statusnya sebagai gimnas terbaik di rantau ini apabila memenangi acara gimrama individu keseluruhan dengan 63.150 mata selepas mengetepikan cabaran Amy dengan kelebihan 3.050 mata untuk perak.

Pingat gangsa dalam acara yang membabitkan empat disiplin - gelung, bola, belantan dan riben itu pula dimenangi gimnas Singapura, Tong Kah Mun yang mengutip 52.900 mata.

Namun esok, Amy, 22, mempunyai peluang untuk mengikis bayangan terbabit selepas kedua-dua mereka akan turun bertentang mata bersama lapan peserta negara lain bagi merebut dua pingat emas daripada acara riben dan gelung.

"Selepas lama menjalani latihan ini masanya untuk saya memberikan persembahan terbaik," kata Amy ketika ditanya mengenai peluangnya menjadi ratu gelanggang rimrama selepas Sie Yan ketika ini sudah memenangi dua emas berbandingnya satu.

Kedua-dua gimnas itu semalam, turut menjulang skuad gimrama negara meraih emas dalam acara berpasukan bersama Izzah Azman, namun persembahan Sie Yan lebih mencuri tumpuan berbanding Amy apabila mengumpul mata tertinggi berbanding dua rakannya itu.

Selain acara individu riben dan gelung, sukan gimrama juga akan menawarkan tiga pingat emas lain menerusi acara individu belantan dan bola serta apparatus campuran pada hari terakhir pertandingan esok.

Mengulas mengenai persembahannya tadi, Amy yang membuat penampilan sulung di Sukan SEA, berkata walaupun ada melakukan kesilapan namun dia tetap berpuas hati dengan kebangkitan dilakarnya dalam dua disiplin terakhir.

"Saya gembira kerana berjaya bangkit mencatat mata lebih tinggi dalam disiplin riben dan belantan selepas persembahan kurang sempurna dalam gelung dan bola. Masih ada dua acara untuk esok dan saya akan berjuang hingga ke akhir," katanya yang terlepas penyertaan Sukan SEA 2015 kerana mengalami kecederaan buku lali.

Berita Harian X