Isnin, 28 Ogos 2017 | 6:45pm
ATLET Malaysia, Muhammad Afifi Nordin menunjukan pingat emas selepas berjaya pada acara pencak silat kategori Jurus Tunggal Lelaki di Stadium Juara, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

KL2017: 'Hadiah untuk rakyat Malaysia'

KUALA LUMPUR: Skuad silat menambah satu lagi kilauan pingat emas buat kontinjen negara menerusi Muhammad Afifi Nordin yang mengungguli kategori seni tunggal lelaki di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Afifi memastikan emas ketiga daripada skuad silat pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas meraih 470 mata untuk mengatasi pesilat Indonesia, Sugianto (462 mata) yang memenangi perak.

Pesilat Thailand yang mengumpul 457 mata sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa.

Afifi yang juga anak jati Temerloh, Pahang berkata pingat emas itu adalah hadiahnya buat seluruh rakyat Malaysia.

"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan menyokong saya selama ini. Bagi rakyat Malaysia, pingat ini adalah hadiah untuk anda semua.


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan) menyampaikan pingat emas kepada atlet Malaysia, Muhammad Afifi Nordin (kiri) selepas berjaya pada acara pencak silat kategori Jurus Tunggal Lelaki di Stadium Juara, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Isteri saya juga sedang mengandung kira-kira dua bulan dan saya anggap kejayaan ini sebagai rezeki anak sulung saya itu," katanya ketika ditemui, di sini.

Terdahulu, lima pesilat negara termasuk Siti Rahmah Mohamed Nasir, Siti Shazwana Ajak, Muhammad Robial Sobri, Mohd Fauzi Khalid dan Mohd Khaizul Yaacob melepasi pusingan separuh akhir dalam kategori tanding bagi kelas masing-masing untuk bersaing merebut pingat emas pada final, esok.

Sebelum ini, skuad silat negara meraih dua pingat emas menerusi pasangan Nur Syazreen A Malik dan Nor Hamizah Abu Hassan bagi kategori seni ganda wanita serta Mohd Taqiyuddin Hamid dan Rosli Mohd Sharif dalam kategori seni ganda lelaki.

Tambahan pingat emas daripada Afifi turut menyaksikan skuad silat negara memerlukan lima lagi pingat emas untuk mencapai sasaran lapan emas.

Berita Harian X