Selasa, 29 Ogos 2017 | 6:18pm
 FATEHAH (kiri) dan Azizulhasni.- Foto NSTP
FATEHAH (kiri) dan Azizulhasni.- Foto NSTP

Azizulhasni, Fatehah kebanggaan Terengganu - Ahmad Razif

KUALA TERENGGANU: Kejayaan jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang, menyumbangkan pingat emas ke-111 untuk negara muncul juara pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 malam tadi, adalah pengiktirafan besar buat Terengganu.

Azizulhasni yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman, menyumbang pingat emas ke-111 selepas menewaskan rakan sepasukan, Muhamad Shah Firdaus Sahrom, dalam final acara pecut di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, malam tadi.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pencapaian atlet yang menyumbangkan kejayaan kepada negara terutama dalam kalangan anak jati negeri ini amat membanggakan.

AZIZULHASNI Awang bersama pingat emas ke-111 negara dalam acara pecut individu lelaki akhir sempena temasya Sukan Sea ke-29 Kuala Lumpur (KL2017) di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan. - Foto Luqman Hakim Zubir

Beliau berkata, Azizulhasni berjaya menyumbangkan pingat emas ke-111 sekali gus membantu negara mencapai sasaran kutipan pingat emas pada temasya sukan berprestij itu.

"Turut membanggakan apabila seorang lagi pelumba Terengganu, Fatehah Mustapa, turut menyumbangkan emas ke-110 dalam acara pecut individu wanita.

"Kejayaan Azizulhasni dan Fatehah adalah satu pengiktirafan besar buat seluruh rakyat dan kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan, di sini, petang ini.

FATEHAH Mustapa memenangi pingat emas ujian masa wanita 500 meter pada Sukan Sea KL2017 di Velodrome Nasional Nilai.- Foto Luqman Hakim Zubir
FATEHAH Mustapa memenangi pingat emas ujian masa wanita 500 meter pada Sukan Sea KL2017 di Velodrome Nasional Nilai.- Foto Luqman Hakim Zubir

Ahmad Razif berkata, dengan pencapaian Azizulhasni dan Fatehah, Terengganu bukan sahaja dikenali sebagai kuasa besar pendidikan negara, tetapi juga kuasa besar dalam bidang sukan negara.

"Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada Azizulhasni dan Fatehah, serta seluruh atlet negeri ini yang sedang mewakili negara di atas kejayaan menyumbangkan pingat emas buat Malaysia sehingga kita berjaya mencipta sejarah.

"Perjalanan kita tidak terhenti setakat Sukan SEA 2017, sebaliknya semua atlet perlu meneruskan perjuangan dan ciptalah lebih banyak cerita kejayaan sehingga ke persada antarabangsa," katanya.

Berita Harian X