Selasa, 29 Ogos 2017 | 7:13pm
PESILAT Malaysia, Siti Rahmah Mohamed Nasir mempamerkan pingat emas pada aksi akhir acara silat tanding kelas E Wanita di Stadium Juara, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

KL2017: Bergegas ke hospital sebaik raih emas

KUALA LUMPUR: Kasih kakak tiada galang ganti.

Walaupun berjaya memastikan emas kelas E buat Malaysia selepas menewaskan wakil Indonesia, Pipiet Kamelia 5-0 di Stadium Juara Bukit Kiara hari ini, ada sesuatu yang bermain di fikiran pesilat wanita negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir.

Di sebalik kegembiraannya mempertahankan emas yang dimenangi di Singapura dua tahun lalu, Siti Rahmah masih dibelenggu perasaan sedih mengenangkan keadaan adik bongsunya, Uthman Mohamed Nasir, 23, yang kini masih tidak sedarkan diri selepas mengalami kemalangan jalan raya, awal pagi kelmarin.

"Adik saya kemalangan dan kini berada di Hospital Sungai Buloh. Dia kemalangan 4 pagi semalam. Saya orang pertama dapat tahu berita itu dan terpaksa bergegas ke hospital daripada hotel penginapan.

"Semalam, saya langsung tidak tidur kerana terpaksa ke hospital. Malah ketika beraksi di separuh akhir, adik saya sedang menjalani pembedahan. Dia kini belum sedarkan diri.


SITI RAHMAH (kanan) ketika beraksi menentang atlet Indonesia, Pipiet Kamelia pada aksi akhir acara silat tanding kelas E Wanita di Stadium Juara, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Emas ini untuk keluarga saya terutamanya buat ibu saya (Syarifah Aishah Syed Hussain Albar). Keluarga saya sepatutnya datang lihat saya beraksi, tetapi dengan apa yang terjadi ini, ia tidak terlaksana," katanya ketika ditemui.

Malah selepas dikalungi pingat emas, Siti Rahmah terus ke Hospital Sungai Buloh.

Pada masa sama, pesilat itu belum membuat sebarang perancangan masa depan kerana mahu mengikuti perkembangan rawatan adiknya, namun Sukan Asia Indonesia tahun depan kekal jadi sasaran utama.

Berita Harian X