Rabu, 30 Ogos 2017 | 7:29pm
ACARA memanah cipta lima rekod Sukan SEA dan satu rekod kebangsaan dicipta acara memanah recurve. - Foto Osman Adnan
ACARA memanah cipta lima rekod Sukan SEA dan satu rekod kebangsaan dicipta acara memanah recurve. - Foto Osman Adnan

KL2017: Penanda aras Sukan Komanwel, Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Pencapaian cemerlang atlet negara di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) akan menjadi penanda aras untuk persediaan menghadapi Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia dan Sukan Asia di Indonesia, tahun depan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata temasya sukan edisi ke-29 kali ini menjadi platform pertama bagi atlet muda membuktikan kemampuan mereka untuk dipilih ke kejohanan besar seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Selepas Sukan SEA ini, ada program tertentu untuk membantu mereka dalam meningkatkan prestasi masing-masing seperti Program Podium," katanya dalam sidang media rumusan prestasi kontinjen Malaysia pada KL2017 di Pusat Media Utama di MiTEC, hari ini.

Menurutnya, pencapaian di sini secara tidak langsung menunjukkan bahawa Malaysia tidak ketandusan atlet pelapis apabila 261 daripada 844 atlet negara berusia bawah 21 tahun.

Pencapaian Khairul Hafiz Jantan dan Grace Wong dalam sukan olahraga umpamanya, menunjukkan program pembangunan sukan yang dilaksanakan menunjukkan hasil positif.

Mengenai prestasi keseluruhan kontinjen negara pada temasya kali ini, Ahmad Shapawi berkata ia adalah pencapaian terbaik negara dalam sejarah penyertaan di temasya dwitahunan itu, dengan muncul juara keseluruhan dengan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

Sebanyak 18 rekod Sukan SEA berjaya dicipta oleh atlet negara menerusi memanah (lima), olahraga (empat), menembak (enam) dan renang (tiga) selain lapan rekod kebangsaan menerusi olahraga (enam), renang (satu) dan memanah recurve (satu).

"Semangat yang dipamerkan oleh atlet ketika menjadi tuan rumah ini amat berlainan. Kebanyakan atlet lebih bersemangat dengan sokongan penyokong di gelanggang sendiri. Kombinasi atlet senior dan pelapis menghasilkan kejayaan kepada kontinjen negara," katanya.

Untuk temasya Sukan SEA 2019 di Filipina, Ahmad Shapawi berkata MSN perlu melihat kepada strategi terbaik dalam menilai kembali keberkesanan program pembangunan atlet secara keseluruhan serta komposisi jenis sukan yang akan dipertandingkan oleh tuan rumah.

Sementara itu, Chef de Mission Datuk Marina Chin pula melahirkan rasa bangga dengan pencapaian kontinjen negara sebagai juara keseluruhan buat kali kedua selepas edisi 2001, juga di Kuala Lumpur.

"Kejayaan ini adalah hasil daripada komitmen semua atlet dan jurulatih serta pegawai untuk menjayakan Sukan SEA kali ini. Ia adalah satu perjalanan yang menarik kepada saya dan saya merasa sangat bertuah bekerja dengan kontinjen yang hebat ini,' katanya. - BERNAMA

Berita Harian X