Khamis, 31 Ogos 2017 | 4:44pm
PELUMBA Malaysia, Azizulhasni Awang memenangi pingat emas dalam acara keirin lelaki akhir Sukan SEA KL2017 di Velodrome Nasional. - Foto Luqman Hakim Zubir
PELUMBA Malaysia, Azizulhasni Awang memenangi pingat emas dalam acara keirin lelaki akhir Sukan SEA KL2017 di Velodrome Nasional. - Foto Luqman Hakim Zubir

Velodrom Nasional mampu lahirkan lebih ramai The Pocketrocketman

KUALA LUMPUR: Juara keirin dunia, Azizulhasni Awang percaya Velodrom Nasional Malaysia di Nilai akan melahirkan lebih ramai `The Pocketrocketman' pada masa depan.

Katanya, Malaysia jelas mempunyai barisan pelumba pecut yang berkualiti apabila mempamerkan dominasi penuh dalam acara trek Sukan SEA yang dipertandingkan selama tiga hari di sana.

Lebih membanggakan, menurut pelumba kelahiran Terengganu itu adalah kehadiran penonton yang memenuhi setiap ruang velodrom sekali gus memberi petanda positif terhadap perkembangan berbasikal khususnya trek.

"Sedikit emosi bagi saya kerana ini adalah penampilan terakhir di Sukan SEA. Peluang selepas ini adalah kepada muka baru yang jelas mempunyai bakat.

"Jika diberikan pendedahan yang tepat, saya pasti mereka akan menggantikan tempat saya. Saya percaya kita akan mampu melahirkan lebih ramai pelumba berbakat pada masa depan," katanya.

Azizulhasni membuktikan kejaguhannya apabila memenangi acara keirin dan pecut individu selain merangkul emas ke-111 yang menjadi sasaran kontinjen negara.

Bagaimanapun prestasi barisan pelumba muda yang lain jelas mencuri perhatian seperti Shah Firdaus Sahrom, Shahriz Efendi Mohd Shahrin, Mohd Fadhil Zonis, Irwandie Lakasek, Eiman Firdaus Mohd Zamri, Irwandie Lakasek, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff dan Muhamad Afiq Huznie Othman.

Malah ada antaranya turut memecahkan rekod kebangsaan.

Skuad trek negara memenangi 11 daripada 13 emas yang dipertandingkan di velodrom tertutup pertama negara itu.

Berita Harian X