Ahad, 3 September 2017 | 5:53pm
SHALIN menang emas dalam acara boling kategori Masters pada Sukan SEA KL2017 di Sunway Megalanes. - Foto Danial Saad

Shalin bersyukur pencapaian di Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Ratu boling negara, Shalin Zulkifli yang ketika ini sudah memiliki 20 pingat emas sepanjang kejayaan di Sukan SEA Singapura 1993 hingga kini, percaya semua hasil serta kecemerlangan dilakar adalah atas keizinan daripada Allah.

Jelasnya, dia berpuas hati dengan prestasi keseluruhan di Sukan SEA selama ini - sekali gus menyaksikan atlet 39 tahun itu semakin mengejar pencapaian milik ratu renang, Nurul Huda Abdullah yang memiliki 22 emas dalam sejarah Sukan SEA.

"Saya rasa sangat bersyukur dan berbesar hati dengan pencapaian saya setakat ini. Sama ada saya akan dapat menyamai rekod Nurul Huda, itu semuanya bergantung kepada Allah," kata Shalin kepada BH Sukan.

Mengulas lanjut, Shalin yang menamatkan saingan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) baru-baru ini dengan tiga pingat emas, berkata selepas ini dia akan memberikan tumpuan kepada Sukan Asia, Indonesia 2018.

Nama Shalin mula meletup dan bermain di bibir peminat ketika temasya dwitahunan di Singapura 1993 yang menyaksikan dia memenangi dua pingat emas menerusi acara trio wanita dan berpasukan wanita.

Shalin terus cemerlang apabila memenangi emas pada 1997, 1999, 2001, 2007, 2015 dan 2017, menjadikan kutipan sebanyak 20 pingat emas secara keseluruhan di temasya terbesar Asia Tenggara itu.

Shalin hanya kekurangan dua pingat emas saja berbanding pencapaian unggul Nurul Huda yang memiliki 22 emas sejak Sukan SEA 1985, 1987 dan 1989 dalam acara renang.

Selain Shalin dan Nurul Huda, turut cemerlang dalam sejarah temasya Sukan SEA adalah penerjun, Leong Mun Yee dengan 16 emas, Alex Lim Keng Liat dalam sukan renang (12), ekuestrian menerusi Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil (11), perenang Daniel Bego (11) dan penerjun, Ooi Tze Liang (9).

Turut berada dalam senarai terbaik adalah perenang Jeffrey Ong (8 emas), penerjun Pandelela Rinong (8), atlet basikal, Fatehah Mustapa (7), Durratun Nasihin Rosli (5) dan Faiznur Miskin (4), masing-masing dalam sukan gimrama.​

Berita Harian X